KPDN sedang siapkan kertas cadangan mekanisme insentif gula bersasar untuk dibentang kepada kabinet dalam masa terdekat
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedang menyiapkan kertas cadangan mengenai mekanisme pelaksanaan insentif gula secara bersasar.
Timbalan Menteri KPDN Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kertas itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat selepas beberapa cadangan dimasukkan.
“Kami sedang melengkapkan beberapa cadangan bagaimana mekanisme penyasaran insentif gula ini dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia di Lotus’s Setia Alam.
Beliau belum dapat mendedahkan butiran cadangan tersebut kerana masih menunggu proses pembentangan di peringkat kabinet.
“Sebaik sahaja selesai, kementerian akan membawa kertas ini untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” tambah Fuziah.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying menyatakan kerajaan sedang meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi barangan keperluan utama termasuk gula, beras dan minyak masak secara berperingkat.
Lim berkata langkah itu akan dilaksanakan selepas kajian holistik dibuat bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Mengenai minyak masak, Fuziah berkata pihaknya masih mengekalkan pemberian minyak masak peket bersubsidi dengan kuota 60,000 tan metrik setiap bulan.
Beliau berkata mekanisme pemantauan melalui aplikasi eCOSS berjaya mengurangkan ketirisan pembelian oleh pihak tidak layak.
“Rakyat Malaysia masih boleh membeli minyak masak peket bersubsidi tetapi perlu mengimbas kod QR aplikasi eCOSS,” jelasnya.
Kaedah ini membantu memastikan barangan bersubsidi sampai kepada sasaran yang tepat termasuk mengelak pembelian oleh warga asing. – Bernama
Post Views: 1






