Dalam keadaan wujudnya gelombang baru revolusi teknologi dan transformasi industri, Perdana Menteri China Li Qiang menyeru negara anggota Asean dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk bersama-sama merintis sektor teras pembangunan tiga hala, termasuk kerjasama dalam industri berteknologi tinggi di samping melindungi rantaian industri dan bekalan.
Ketika berucap pada Forum Ekonomi Asean-GCC-China pada Selasa, Li berkata cabaran dasar perlindungan dan tindakan unilateral semakin meningkat di samping menegaskan bahawa ketiga-tiga rantau ini perlu terus menggalakkan keterbukaan dan menolak sikap bermusuhan untuk memanfaatkan peluang pasaran yang lebih luas.
Dia berkata walaupun gabungan skala ekonomi ketiga-tiga rantau ini membentuk kira-kira satu perempat daripada ekonomi global, namun jumlah perdagangan keseluruhannya hanya mencatatkan sekitar 5.4 peratus daripada jumlah perdagangan dunia, sekali gus menunjukkan peluang yang luas dan potensi kerjasama yang amat besar.
“Ini merupakan permulaan penting untuk kita mengukuhkan kerjasama dan mempercepat pembangunan,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama awam, Li optimistik selepas menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan ketika lawatannya ke Malaysia, serta ketika kunjungannya ke Timur Tengah dan negara-negara Teluk tahun lepas.
Katanya, setiap negara memiliki kelebihan unik justeru kerjasama yang erat boleh menjana sinergi yang hebat.
“Kerjasama ini akan menjana sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkualiti tinggi untuk platform inovasi, rangkaian luas produk gunaan dan memupuk pertumbuhan industri yang sedang pesat membangun serta model baru perniagaan sekali gus memperluas pengaruh dan kedudukan negara tiga pihak ini dalam landskap inovasi,” katanya.

Li berkata sebagai contoh sektor kenderaan tenaga baru (NEV), apabila pengeluaran dan jualan NEV China melebihi empat juta unit bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Dia berkata lebih 80 peratus daripada sektor pembuatan China kini beroperasi berdasarkan rangka kerja ‘kilang pintar’ .
“NEV bukan sekadar kejayaan revolusi tenaga malah juga integrasi teknologi pintar, berfungsi sebagai hab pintar utama yang mempercepat pembangunan pelbagai teknologi baru,” katanya.
Li berkata China komited terhadap dasar fiskal yang proaktif dan dasar monetari akomodatif yang sederhana, serta langkah mempercepat peningkatan perindustrian ke arah pembangunan bertaraf tinggi, pintar dan hijau untuk memupuk industri-industri yang sedang pesat membangun.
“Tidak kira apa jua cabaran yang mendatang, kerajaan dan rakyat China mempunyai kapasiti dan keyakinan untuk memastikan ekonomi China stabil dan berada pada landasan yang betul.
“Kami mahu meningkatkan pembukaan peringkat tinggi dan memperkenalkan langkah keterbukaan yang lebih autonomi dan stabil,” katanya.
Li turut menekankan pembangunan pesat Asia sejak beberapa dekad ini telah mengesahkan perpaduan, keamanan dan kestabilan menjadi asas kepada pertumbuhan dan kemakmuran yang mampan.
“Tanpa kepercayaan bersama, konflik akan wujud dan meningkat, menjadikan kerjasama itu suatu yang sukar.
“Sebaliknya, meningkatkan perpaduan membolehkan sokongan bersama yang strategik, menggalakkan kerjasama ekonomi yang lebih luas, lebih mampan dan peringkat tinggi dan memastikan pembangunan stabil jangka panjang,” katanya.
-Bernama