MUKTAMAR PAS | Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya mempertahankan kerjasama parti itu dengan parti pimpinan P Ramasamy dan P Waythamoorthy – dua ahli politik yang sebelum ini dianggap sebagai seteru.
Ia berikutan pengumuman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bulan lalu bahawa 12 parti pembangkang bersetuju menubuhkan satu gabungan politik longgar bagi memperjuangkan isu-isu yang didakwa gagal ditangani kerajaan.
Gabungan itu merangkumi Bersatu, PAS, Parti Kemajuan Malaysia (MAP) pimpinan Waythamoorthy, serta Urimai yang diketuai Ramasamy.
Bercakap kepada pemberita petang ini, Ahmad berkata tidak timbul isu bagi PAS untuk terlibat dengan gabungan itu kerana ia bukanlah pakatan politik yang mengikat.
“Itu bukan satu ikatan atau kerjasama (politik) yang tetap, mungkin lebih bersifat (untuk) menangani isu-isu semasa sahaja, contohnya (menerusi) pertemuan parti-parti politik berkaitan kos sara hidup.
“Saya kira kalau perkara yang berkait dengan isu-isu umum, isu-isu rakyat, kita akan bagi ruang untuk (mana-mana pihak) terlibat sama memberi pandangan.
“Jadi, tak jadi masalah,” katanya selepas berakhirnya Muktamar Dewan Ulama PAS di Alor Setar, Kedah.
Apabila ditanya mengenai kritikan terhadap PAS kerana menyertai gabungan itu, Ahmad menyifatkannya sebagai naratif yang dimainkan seteru mereka.
“Selagi tak ganggu perjalanan PAS dan kerjasama dalam PN, tak ada masalah,” katanya lagi.

Pada 18 Ogos lalu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan parti pembangkang sebelum mengumumkan persetujuan mereka untuk menubuhkan gabungan berkenaan.
Parti lain yang menyertai gabungan itu ialah Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Masyarakat India Malaysia (MIPP), Putra, Berjasa, PSM, serta Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
PAS sebelum ini menerima kritikan termasuk daripada Umno kerana bersetuju untuk bekerjasama dengan Urimai dan MAP.