Malaysia Oversight

‘Kerja belum selesai’, Hajiji mohon mandat baru

By MkiniBM in October 6, 2025 – Reading time 2 minute
‘Kerja belum selesai’, Hajiji mohon mandat baru


Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor memohon mandat baru daripada rakyat Sabah dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi atas alasan “kerja kita belum selesai”.

“Cabaran baru menuntut penyelesaian yang berani, dan kita bersedia membawa Sabah ke lembaran seterusnya,” katanya yang juga pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan – membina Sabah yang lebih kukuh, lebih makmur dan bersatu untuk semua.”


Baca: DUN Sabah bubar, pilihan raya dalam 60 hari


Hajiji berkata demikian ketika mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di pusat pentadbiran negeri di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Dalam pengumuman itu, dia berkata telah memberikan kuasa kepada rakyat Sabah untuk menggunakan hak demokrasi mereka dalam  menentukan pemimpin.

“Keputusan ini mencerminkan komitmen kami terhadap demokrasi dan proses perlembagaan,” katanya.

Dia juga berkata sepanjang lima tahun, mereka telah bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan dan pertumbuhan kepada Sabah. 

Katanya, melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya mereka menetapkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas sejak menerajui negeri ini pada pada September 2020.

Hajiji juga berkata mereka telah mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi terutamanya berkaitan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kritikal. 

“Tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran yang diwarisi ini yang telah membebankan rakyat sejak sekian lama. 

“Beberapa inisiatif telah disiapkan, sementara sebahagian yang lain sedang berjalan untuk disiapkan,” katanya.

Berdasarkan undang-undang, PRN harus diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi dilantik.

Pentadbiran Hajiji dicemari dakwaan skandal rasuah dalam projek pelombongan mineral di Sabah.

Ketua menteri berkata dia menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan dalam hal itu.



Source link