Malaysia Oversight

Kereta rempuh penyokong Liverpool, 47 cedera termasuk 4 kanak-kanak

By MkiniBM in May 27, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Seramai 47 orang cedera selepas sebuah kereta merempuh sekumpulan penyokong bola sepak yang sedang meraikan kejayaan kelab Liverpool, dengan 27 daripadanya dimasukkan ke hospital dan dua mengalami kecederaan serius, termasuk seorang kanak-kanak, menurut pegawai kesihatan Britain.

Ketua Perkhidmatan Ambulans NHS Wilayah Barat Laut, David Kitchin berkata dalam sidang media bahawa 20 mangsa dirawat di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital, lapor RIA Novosti.

“Kami mengesahkan bahawa pasukan kami merawat 20 pesakit di tempat kejadian dengan kecederaan ringan yang tidak memerlukan rawatan hospital.

“Seramai 27 pesakit telah dibawa ke hospital dengan ambulans dan kami percaya dua daripadanya termasuk seorang kanak-kanak, mengalami kecederaan serius,” katanya.

Dia turut mengesahkan empat daripada mangsa yang cedera merupakan kanak-kanak.

Terdahulu, Polis Merseyside memaklumkan sebuah kereta merempuh orang ramai di pusat bandar Liverpool ketika mereka meraikan kejayaan kelab bola sepak itu menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Pemandu kereta terbabit, seorang lelaki British berusia 53 tahun ditahan di lokasi kejadian.

-Bernama



Source link