Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mendakwa berlaku aktiviti mencurigakan berbentuk “ala-komando” di Masjid Rusila, Marang, bulan lalu — dan mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan segera.
Bercakap kepada pemberita di Dewan Rakyat, hari ini, ahli Parlimen Kota Bharu berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan perwatakan, perlakuan, dan pergerakan amat mencurigakan sehingga menimbulkan keresahan awam.

“Ini termasuk pelbagai andaian terhadap aspek keselamatan YB Ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi Awang), keluarga, dan masyarakat setempat.
“Justeru, penjelasan YB Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution Ismail) adalah dituntut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Takiyuddin, kejadian berlaku pada 19 September di Masjid Rusila, yang juga bersebelahan dengan kediaman presiden PAS itu.
Dia seterusnya menyenaraikan lima perkara yang disifatkannya sebagai mencurigakan melibatkan perwatakan, perlakuan, dan pergerakan.
“Kelihatan tiga individu lelaki berpakaian biasa memasuki ruang solat wanita berhampiran tandas wanita, dalam keadaan tergesa-gesa dan mencurigakan;
“Kelihatan sebuah kereta berwarna perak yang dinaiki dua individu lelaki diletakkan di tepi pagar kediaman ahli Parlimen Marang, bersebelahan ruang hadapan Masjid Rusila.
“Kelihatan beberapa kenderaan dan lebih sepuluh invididu lelaki berpakaian biasa sedang mengawasi keadaan di perkarangan luar masjid,” katanya.

Seterusnya, Takiyuddin mendakwa rakaman CCTV masjid itu memaparkan tiga individu lelaki berlari keluar daripada masjid dalam keadaan tergesa-gesa.
Mereka seterusnya menaiki sebuah kereta berwarna biru yang sampai pada masa itu untuk meninggalkan perkarangan masjid.
“Segala aktiviti berbentuk ‘penyamaran, penyusupan, dan pelolosan’ yang amat mencurigakan ini, dijalankan tanpa pemakluman atau permohonan kepada pihak pengurusan Masjid Rusila, sebelum hari kejadian,” katanya.
Tambahnya, laporan polis dibuat oleh pihak pengurusan masjid dan rakaman CCTV itu juga diserahkan kepada polis.
Takiyuddin turut menolak dakwaan bahawa aktiviti itu hanyalah sebahagian daripada simulasi latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Gambar sekumpulan lelaki berjubah putih yang dikongsikan kepada media — kononnya pelatih sedang membaca al-Quran — sama sekali tidak bersamaan dengan rakaman CCTV di masjid pada tarikh dan masa yang dinyatakan,” katanya.

APMM bagaimanapun menafikan perkara itu, dengan menyatakan bahawa para anggotanya hanya menggunakan masjid itu untuk menunaikan solat dan berehat, serta bahawa pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran mereka.
Malah kata, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Rosli Abdullah, pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku.
Takiyuddin berkata, penduduk setempat juga mengesahkan bahawa tiada sebarang latihan air dijalankan di laut atau pesisir pantai Kampung Rusila pada tarikh berkenaan.
“Berbalik kepada latihan Sere (survival, evasion, resistance and escape) yang biasanya dilakukan di belakang garisan musuh, timbul persoalan — apakah motif latihan ini, siapa musuh yang dimaksudkan, siapa tebusan atau sasaran yang hendak diloloskan, dan mengapa Masjid Rusila dijadikan lokasi latihan?” soalnya lagi.
Masjid Rusila sering menjadi pusat aktiviti PAS dan lokasi utama kuliah serta ceramah Hadi.






