Malaysia Oversight

Kereta Elektrik BYD Atto 2 Dilancarkan Pada Harga RM 100,000 – Turut Menawarkan Pakej Pengecasan Khas Untuk Pembeli Terawal Yang Menghuni Rumah Bertingkat

By Amanz in July 24, 2025 – Reading time 2 minute
Kereta Elektrik BYD Atto 2 Dilancarkan Pada Harga RM 100,000 – Turut Menawarkan Pakej Pengecasan Khas Untuk Pembeli Terawal Yang Menghuni Rumah Bertingkat


Automotif

Kereta Elektrik BYD Atto 2 Dilancarkan Pada Harga RM 100,000 – Turut Menawarkan Pakej Pengecasan Khas Untuk Pembeli Terawal Yang Menghuni Rumah Bertingkat

July 24, 2025

Ikhwan Nazri

Dua tahun lalu BYD mula bertapak di Malaysia dengan penjualan kereta elektrik BYD Atto 3 yang boleh dikatakan sangat popular dan dalam masa singkat dapat dilihat di banyak jalanraya utama. Sejak dari itu lebih banyak lagi model yang ditawarkan BYD yang memenuhi setiap segmen pengguna. Hari ini mereka menambah satu lagi penawaran menarik dalam siri Atto iaitu BYD Atto 2 dan Malaysia merupakan negara pertama yang menerima model dengan pemanduan sebelah kanan. 

BYD Atto 2 Malaysia IMG 7507

BYD Atto 2 merupakan EV dalam segmen SUV-kompak dan mempunyai saiz lebih kecil dari Atto 2, namun sedikit besar berbanding Dolphin. Ia mempunyai motor elektrik pacuan hadapan yang memberikan kuasa 130 kW 290 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat. Dengan bateri Blade sebesar 51.1 kWh, ia memberikan jarak perjalanan sehingga 410 KM NEDC dan mempunyai pengecasan AC 7 kW dan pengecasan pantas DC 82 kW membolehkan pengecasan 30-80% dalam masa kurang dari 30 minit. 

BYD Atto 2 Malaysia IMG 7513
BYD Atto 2 Malaysia IMG 7512

Sinonim dengan BYD, adalah paparan inforia 12.8-inci yang boleh diputarkan dan menyokong tambatan nirwayar CarPlay dan Android Auto. Ruangan dalaman dikemaskan lagi dengan tempat duduk kulit sintetik, tempat duduk hadapan yang dilengkapi sistem pengudaraan, sistem swapandu tahap 2, kamera pemantauan 360-darjah, 6 beg udara serta ruang bagasi yang boleh diluaskan sehingga 1320 liter.

BYD Atto 2 dijual pada harga RM 100,000 dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu Ski White, Breeze Green dan Harbour Grey. Ia turut hadir dengan jaminan selama 6 tahun atau 150,000 KM jarak perbatuan, jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 KM jarak perbatuan, dan jaminan pacuan elektrik selama 8 tahun arau 150,000 KM jarak perbatuan. 

BYD Atto 2 Malaysia IMG 7511

Di Malaysia BYD diedarkan menerusi Sime Darby Motors jadi ia turut ditawarkan dengan pilihan pakej pemilikan khas untuk 800 pembeli pertama bernimai RM 13,500. Menerusi pakej pembiayaan mudah, pengguna menerima diskaun pembayaran RM 0 untuk 6 bulan pertama sekiranya kereta ini dibiayai menggunakan panel bank Sime Motors. Seterusnya mereka turut memberikan dua pilihan pengecasan:

  • Penghuni rumah bertanah: percuma kotak pengecasan kereta elektrik
  • Penghuni rumah bertingkat: Pakej Sime Platinum 4+ yang memberikan langganan selama 12 bulan untuk perkhidmatan pengecasan mudah alih sebanyak 4 kali setiap bulan, perkhidmatan cucian kereta sebanyak 2 kali setiap bulan, seeta perkhidmatan bantuan dan tundaan sebanyak 2 kali setahun.

Turut disertakan bersama BYD Atto 2 adalah penyesuai V2L serta kabel pengecasan 3-pin.

Anda boleh mencuba BYD Atto 2 di kesemua 35 cawangan pengedarnya di seluruh Malaysia, dan pada hujung minggu ini mereka turut mengadakan sesi pandu uji di Heritage Valley, Kuala Lumpur. Dengan harga yang menarik dan pakej yang ditawarkan khas untuk golongan muda yang mungkin banyak menghuni rumah bertingkat, mungkin kita sedang melihat sesuatu bentuk pemilikan yang boleh ditawarkan oleh pengeluar lain. 

Komen

Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.



Source link