Kerajaan mengekalkan keputusan untuk menggunakan sistem MyKad sebagai kaedah penyaluran subsidi petrol RON95 secara bersasar.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, memberitahu Dewan Negara, mereka bekerjasama dengan syarikat stesen minyak bagi memastikan sistem bayaran menggunakan MyKad dapat digunakan menjelang pelaksanaannya akhir bulan ini.
Bernama memetik Hamzah sebagai mengesahkan bahawa data Pangkalan Data Utama (Padu) akan digunakan untuk menentukan siapa yang layak menerima bantuan.
Kelmarin, bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli—yang portfolionya kini dipegang oleh Amir—mengulangi cadangan supaya kerajaan menyalurkan subsidi melalui pemindahan tunai.

Dia berkata demikian ketika mengulas mengenai gangguan sistem semasa pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), yang pernah dibangkitkannya sebelum ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada awal Ogos mengumumkan bahawa semua warganegara dewasa akan menerima bantuan Sara sekali sahaja sebanyak RM100 untuk membeli barangan rumah dan barangan runcit.

Bantuan itu, sah dari 31 Ogos hingga 31 Disember, ditebus menggunakan MyKad.
Bagaimanapun, sistem itu tidak bersedia untuk mengendalikan kemasukan transaksi yang besar pada 31 Ogos.
Kerajaan hanya mengambil langkah meningkatkan kapasiti pada keesokan harinya.
Rafizi memberi amaran bahawa sistem MyKad untuk subsidi RON95 akan terdedah kepada masalah serupa.