Rangkaian Dark Fibre adalah merujuk kepada kelengkapan gentian optik yang “gelap” atau tidak digunakan. Secara lazimnya, dark fibre dibangunkan untuk membolehkan mana-mana institusi yang memerlukan rangkaian internet yang pantas, dan mahukan kawalan kepada rangkaian mereka sendiri dari segi kelajuan, keselamatan dan kebolehan untuk menambahkan kadar penghantaran data mengikut keperluan sendiri dan tidak terikat dengan peraturan pembekal internet lain.
Terkini, ia dilaporkan bahawa kerajaan Selangor telah memulakan proses pembangunan Selangor Dark Fibre Network, dimana fasa pertamanya ialah pembangunan rangkaian gentian optik bawah tanah yang dimulakan di sekeliling Cyberjaya yang dinamakan Projek Fiberisasi Cyberjaya.

Projek ini diterajui oleh SmartSel Sdn Bhd dan OCK Group Sdn Bhd dan akan merangkumi keseluruhan kawasan Cyberjaya, sepanjang 41.1KM dan akan menjadi milik kerajaan Selangor apabila ia disiapkan dalam masa enam bulan lagi.
Ia juga merupakan langkah pertama dalam projek Selangor Dark Fibre Network, dimana fasa kedua akan dimulakan di Shah Alam kelak dengan jajaran sejauh 178KM. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengatakan bahawa keseluruhan projek tersebut dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, dengan jumlah rangkaian gentian optik sepanjang 889KM.
Projek ini dijangka memakan belanja RM500 juta ke RM800 juta dan adalah merupakan kerjasama bersama kerajaan negeri, syarikat-syarikat swasta dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Apabila siap kelak, rangkaian dark network ini dilihat boleh memanfaatkan pelbagai pihak, dari universiti, pelbagai institusi kewangan dan pembangunan bandar-bandar baru, yang boleh dijadikan bandar pintar dengan lebih mudah.






