
Kerajaan Selangor Mahu Mengehadkan Tempoh Sewa Bilik Jangka Masa Pendek Ke 180 Hari
Nazrin
Kerajaan Selangor dijangka akan mula mengehadkan tempoh sewa bilik untuk perkhidmatan seperti Airbnb dan sebagainya ke 180 hari atau enam bulan sahaja bermula Januari 2026 kelak.
Perkara ini diumumkan oleh Dato’ Ng Suee Lim, yang merupakan ahli majlis eksekutif kerajaan tempatan dan pelancongan negeri Selangor. Kerajaan negeri dilihat akan meneliti garis panduan penginapan jangka masa pendek yang akan diperkenalkan oleh kerajaan pusat pada bulan Disember ini.
Berdasarkan laporan oleh MediaSelangor, ini bermaksud bahawa sebuah rumah atau unit tempat tinggal hanya akan dibenarkan untuk beroperasi sebagai sebuah tempat penginapan jangka-masa pendek selama 180 hari setiap tahun. Kebenaran untuk beroperasi lebih lama daripada jangka masa yang ditetapkan akan dipertimbangkan, tetapi hanya selepas pemilik lokasi sewa jangka masa pendek mendapatkan permit perancangan.
Walaupun begitu, Dato’ Ng Suee Lim mengatakan bahawa sebarang tindakan lanjut oleh kerajaan negeri hanya akan dijalankan selepas mereka meneliti garis panduan sewa jangka-masa pendek yang akan dikeluarkan oleh PLANMalaysia, dan juga draf dan polisi yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau juga mengatakan bahawa langkah ini juga dibuat untuk membantu pihak pengelola hotel tempatan, yang perlu membayar banyak lesen dan memastikan tempat penginapan mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik, manakala pemilik lokasi sewa jangka-masa pendek tidak perlu risau tentang perkara-perkara ini.
Selain daripada itu, kerajaan Selangor juga akan memperkenalkan yuran penyelenggaraan untuk semua lokasi-lokasi penginapan, tidak kira ia adalah hotel ataupun lokasi-lokasi Airbnb di negeri tersebut bermula Januari 2026. Dato’ Ng Suee Lim mengatakan bahawa yuran ini tidak akan membebankan pelancong, dan sudahpun diperkenalkan di beberapa negeri lain di Malaysia.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






