PARLIMEN l Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan kenaikan cukai cecair vape daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter (ml), kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni (GPS–Sibuti).
Berucap di Dewan Rakyat hari ini, dia berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan bagi menyelaraskan kadar cukai produk vape dengan produk tembakau konvensional.
“Satu batang rokok bersamaan 10 puff (sedutan), 1 kotak rokok 200 puff setiap kotak, 1ml cecair vape bersamaan 100 puff.
“Kadar cukai yang dicadangakn pada cukai cecair vape dari 40 sen ke RM4 setiap ml, cadngan dari pihak KKM agar dapat diterima pihak MOF (Kementerian Kewangan),” katanya semasa menjawab soalan Wan Saiful Wan Jan (PN–Tasek Gelugor).

Ahli Parlimen pembangkang itu meminta jaminan agar kadar cukai ke atas cecair nikotin dalam vape diselaraskan dengan cukai rokok dalam Belanjawan 2026 nanti.
“Kalau dibandingkan dari segi kandungan, satu kotak rokok lebih kurang 2ml tapi satu ml nikotin cukainya hanya 40sen lebih kurang 10 peratus cukai rokok.
“Jurang besar, orang pergi (beralih) pada vape,” katanya sambil menegaskan tiada harga lantai ditetapkan bagi produk vape seperti yang dikenakan ke atas rokok
Wan Saiful sebelum ini mengakui KKM sedang meneliti cadangan untuk melarang sepenuhnya penjualan vape, namun menegaskan larangan menyeluruh tanpa penguatkuasaan berkesan hanya akan membuka ruang kepada pasaran gelap yang sukar dikawal.
Dia juga mengingatkan bahawa kelewatan berterusan dalam menggubal peraturan vape atas alasan teknikal atau undang-undang hanya memburukkan risiko kesihatan awam.

Pada Ogos lalu, KKM dilaporkan berkata hasil duti eksais daripada produk tembakau menyumbang sebanyak RM15.30 bilion kepada hasil kerajaan antara tahun 2021 hingga Julai tahun ini.
Dalam tempoh sama, hasil cukai daripada peranti, cecair nikotin dan bukan nikotin bagi rokok elektronik serta vape berjumlah RM288.45 juta — jauh lebih rendah berbanding RM15.02 bilion hasil daripada rokok biasa.
Sementara itu, Lukanisman memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kutipan cukai vape pada 2024 mencecah RM111 juta.
Namun katanya, kos rawatan penyakit berkaitan vape — termasuk EVALI (kecederaan paru-paru akibat penggunaan produk e-rokok atau vape) — dianggarkan sebanyak RM223 juta tahun lalu dan dijangka terus meningkat.

“Ini menunjukkan beban kos kesihatan jauh melebihi manfaat fiskal.,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada R Yuneswaran (PH–Segamat).
Lukanisman turut mengulangi pendirian bahawa kementerian sedang bergerak ke arah larangan menyeluruh terhadap rokok elektronik dan vape, dengan cadangan itu dijangka dibentang kepada jemaah menteri tahun ini.
Pada Julai lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memaklumkan langkah itu diambil selepas pihak berkuasa mendapati produk vape dan rokok elektronik disalahgunakan bagi pengambilan dadah terlarang.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri dan Haspaizi Zain






