IPOH: Kerajaan berjaya merampas wang rasuah berjumlah RM5 bilion dalam tempoh setahun hasil tadbir urus atau tata kelola yang baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wang rasuah berkenaan dirampas daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta orang politik.
Menurutnya, kejayaan itu hasil daripada tata kelola yang baik yang diamalkan kerajaan Madani.
“Ada orang menyindir dan sinis apabila disebutkan soal tata kelola dan gerakan keras anti rasuah. Saya hendak beritahu berapa (rampasan wang rasuah) yang kita kumpul dalam satu dua tahun ini daripada semua agensi, dari orang politik, jabatan, kementerian dan Imigresen, Kastam.
“Berapa kita sudah kumpul setahun ini? Sudah RM4 hingga RM5 bilion wang yang dirampas daripada hasil rasuah. Maknanya kecekapan dan kesungguhan kita bertindak untuk membersihkan negara daripada amalan rasuah.
“Negara ini kalau hendak diangkat martabat dan darjatnya, ia memerlukan kekuatan dan komitmen semua. Tidak boleh lagi dengan cara yang biasa. Nak buat projek besar, komisyennya mesti sekian banyak. Harus dihentikan syarat-syarat sedemikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Ipoh Sentral di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh mengenai pembangunan projek mega yang bukan sahaja perlu sesuai dengan nilai masyarakat dan budaya rakyat negara ini tetapi juga perlu memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Menurutnya, tiada gunanya pembinaan gedung besar atau projek mega tetapi tidak ada manfaat langsung kepada rakyat, sebaliknya hanya rasa kagum terhadap pembinaannya.
“Kita tak boleh pertahankan lagi konsep pembangunan sedemikian. Kita harus sentiasa prihatin dan menyantuni rakyat, jika tidak makna Madani itu tidak lebih daripada hanya slogan.
“Maka pembangunan projek mega harus difikirkan apakah ciri-ciri yang boleh mengangkat budaya negara dan rakyat keseluruhannya. Sayangkanlah rakyat biasa. Apakah gedung besar raksasa ini boleh memenuhi keperluan semua?,” katanya.
Mengenai pembangunan Ipoh Sentral, Anwar berharap projek itu dapat dijadikan contoh pembangunan berasaskan transit.
“Saya minta Menteri Besar, Menteri Pengangkutan, Majlis Bandaraya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pendidikan mengkaji semua aspek pembangunan Ipoh Sentral.
“Walaupun projek ini sudah dirangka, ada yang boleh diperbaiki supaya Ipoh Sentral ini menjadi satu model pembangunan yang utuh dan yang terbaik, boleh jadi contoh dalam negara kita,” katanya.
Ipoh Sentral, terletak dilokasi strategik bertentangan dengan Stesen Keretapi Ipoh di sini. Ia berteraskan agenda Pengangkutan Hijau Bandar Pintar Perak 2030 bakal mengubah Ipoh menjadi hab pengangkutan yang moden, mampan dan mempunyai keterhubungan yang baik, di samping memelihara warisan budaya bandar serta mengukuhkan ikatan komuniti.
Dibangunkan berasaskan prinsip Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), projek itu akan mengintegrasikan perkhidmatan kereta api, bas, teksi, e-hailing, laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal secara menyeluruh dalam sebuah kawasan bandar pelbagai guna yang dinamik.
Projek yang dibangunkan di kawasan seluas 67 ekar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM6.25 bilion. – UTUSAN