Seorang wakil rakyat DAP meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang disifatkannya sebagai sikap sambil lewa wakil kerajaan berhubung gempa bumi yang berlaku di Johor baru-baru ini.
Ia disuarakan Adun Jementah Ng Kor Sim, yang mana kawasannya turut terjejas akibat gegaran yang berlaku.
Dalam kenyataan media hari ini, Ng berkata dia “sangat bimbang” dengan jawapan “kabur dan tidak komited” yang diberikan pegawai kanan kerajaan serta sejumlah agensi terhadap “soalan-soalan asas” yang ditanya.
Dia mendakwa, ketika ditanya mengenai latihan kecemasan awam dalam satu sesi dialog pada 3 September lalu, pegawai hanya menyebut kemungkinan ia diadakan pada Oktober.
Namun, didakwa tiada penjelasan diberikan mengenai agensi mana yang akan mengendalikannya, di mana ia akan dijalankan, atau jika ia akan diadakan secara berkala di masa akan datang.
Bagi isu keselamatan sekolah pula, Ng berkata jawapan yang diterima hanyalah lima sekolah melaporkan kerosakan kecil, tetapi tiada pengesahan bahawa semua bangunan sekolah telah diperiksa.

Mengenai infrastruktur penting, dia berkata tiada jaminan bahawa pelan paip gas atau lakaran infrastruktur telah diserahkan kepada badan yang berkaitan.
“(Jawapan-jawapan itu) tidak memberikan keyakinan dan ia sama sekali tidak meredakan kebimbangan penduduk Jementah serta kawasan lain yang terus hidup dalam ketidaktentuan.
“Di saat kejelasan paling diperlukan, kita tidak sepatutnya berpuas hati dengan jawapan yang tidak lengkap atau bernada mengelak,” kata Ng.
Menekankan tahap kesiapsiagaan tidak seharusnya terhad kepada aspek teknikal semata-mata, Ng berkata perlu ada jaminan terhadap tahap keselamatan infrastruktur awam kritikal – termasuk sekolah, masjid dan hospital.
Budaya kesiapsiagaan diperlukan
Ng turut mengingatkan Malaysia tidak boleh mengambil mudah dengan keadaan negara yang bebas daripada bencana alam, dengan menegaskan siri gempa bumi baru-baru ini menunjukkan betapa pentingnya sistem perlindungan rakyat diwujudkan.
“Ini bukan tentang Jementah sahaja. Gempa baru-baru ini mengingatkan kita bahawa Malaysia memerlukan budaya kesiapsiagaan nasional yang lebih kuat dan tidak mengabaikan mana-mana komuniti.
“Kita perlukan protokol jelas, komunikasi telus, dan tindakan nyata yang menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk melindungi rakyat,” katanya lagi.
Ng berkata dengan menangani segala kelemahan secara segera, kerajaan boleh mula memulihkan keyakinan rakyat.
Katanya lagi, kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan menambah rasa gusar dalam kalangan komuniti yang sudah menghadapi gegaran tersebut.
Terbaru, pada 3 September lalu, satu gempa bumi kecil dengan magnitud 2.9 melanda Sri Medan di Parit Sulong, Johor. Ia merupakan gegaran kelapan sejak kejadian pertama di Segamat pada 24 Ogos.
Gempa pertama itu berukuran 4.1 magnitud dan disusuli gegaran pada 27 Ogos (3.2), 28 Ogos (2.5), 29 Ogos (3.4), 30 Ogos (2.7), dan 31 Ogos (2.9).