Malaysia Oversight

Kerajaan pandai urus negara tapi masih lemah urus ‘cerita’

By MkiniBM in April 28, 2025 – Reading time 3 minute
Kerajaan pandai urus negara tapi masih lemah urus 'cerita'


HULASAN | Madani yang diasaskan atas semangat reformasi dan inklusiviti dijanjikan sebagai satu nafas baru dalam landskap politik negara.

Dari sudut dasar, banyak yang telah digerakkan — penstrukturan subsidi, pelarasan gaji penjawat awam, kestabilan politik pasca-PRU15, pelaburan asing yang meningkat, dan pelbagai langkah pengukuhan institusi.

Namun satu kelemahan besar yang semakin ketara ialah bagaimana ini mengurus cerita — yakni membina naratif, menguasai persepsi, dan menyentuh hati rakyat secara konsisten.

Cerita dalam politik bukan sekadar fakta dan laporan pencapaian. Ia adalah kisah yang dikongsi, yang menjadikan rakyat faham, terinspirasi dan berasa dilibatkan dalam perjalanan negara.

Di sinilah Madani tampak lemah, dan retorik moral tidak cukup. Infografik cantik yang menyertai sesuatu sebaran maklumat tidak memadai.

Emosi rakyat tidak boleh ditenangkan dengan statistik dan data semata-mata.

Lebih membimbangkan, ruang komunikasi yang tidak diisi oleh kerajaan kini diambil alih oleh lawan politik. Pembangkang bijak menyusun naratif yang padat, emosional, dan mudah tersebar.

Mereka tidak perlu fakta yang kukuh sebaliknya cukup dengan skrip yang menyentuh ketakutan dan sentimen kaum serta agama.

Tak meresap dalam pentadbiran

Sebaliknya, kerajaan Madani masih terikat dengan gaya komunikasi lama. Justeru kita dihadapkan dengan kemunculan kenyataan rasmi yang panjang berjela, tidak ekonomikal, menggunakan laras teknikal, selain kaku untuk menangani isu panas.

Bahkan, banyak jurucakap kerajaan sendiri tidak memahami keperluan kritikal untuk mereka menjelaskan dasar semasa dengan kaedah yang lebih berkesan serta bersahaja, bukan kelihatan dipaksa-paksa.

Kita lihat bagaimana isu-isu penting seperti subsidi bersasar, harga barang, program e-Madani atau kemasukan pelaburan asing. Sering kali naratif pencapaian itu tidak ke akar umbi, sedangkan ia sangat penting.

Penjelasan daripada kerajaan tenggelam, manakala suara pembangkang mendominasi ruang maya dengan naratif “kerajaan gagal” atau “rakyat tertindas”.

1a0004335ecd133e65e9087c114c55b2

Lebih parah, penjawat awam — yang sepatutnya menjadi duta dasar kerajaan — juga kadangkala kelihatan tidak memahami atau tidak menyokong dasar sedia ada.

Ini petunjuk jelas bahawa komunikasi dasar kerajaan bukan sahaja gagal sampai ke rakyat, bahkan tidak meresap ke dalam sistem pentadbiran sendiri.

Di negeri-negeri dan kawasan parlimen pula, tiada jentera komunikasi politik yang mantap. Tidak ada naratif bersama antara PH dan . Setiap parti bergerak sendiri-sendiri, malah lebih parah, kadangkala saling bercanggah.

Naratif nasional tidak disambung di peringkat tempatan. Akhirnya, pencapaian kerajaan pusat tidak kelihatan di mata rakyat di kampung dan pekan kecil.

Inilah yang membezakan antara mengurus negara dan mengurus cerita.

Bina strategi komunikasi tepat

Kerajaan Madani barangkali berjaya dalam soal dasar, tetapi masih gagal menjadikan dasar itu difahami, dihargai dan dibanggakan oleh rakyat.

Ini bukan soal propaganda murahan, tetapi soal menjelaskan kebenaran dengan cara yang boleh diterima oleh akal dan hati.

Kerajaan harus sedar, kebenaran yang tidak diceritakan dengan baik tidak akan membawa makna. Pada zaman ledakan maklumat ini, persepsi boleh membunuh realiti.

Jika kerajaan tidak mengurus cerita dengan bijak, pihak lawan akan menulis cerita mereka sendiri — dan itulah yang sedang berlaku sekarang.

Justeru kerajaan perlu segera membina strategi komunikasi yang bersepadu, dinamik dan pintar.

Ia bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi membina hubungan. Bukan sekadar menjawab isu, tetapi mencipta naratif. Bukan sekadar menjelaskan dasar, tetapi menyentuh jiwa.

Kerajaan Madani sudah mempunyai segala alat, tetapi masih tercari-cari nada dan bahasa yang tepat untuk menyentuh nurani rakyat.

Jika ini tidak diperbaiki segera, rakyat mungkin akan menolak kerajaan pada PRU akan datang.

Yang menyedihkan ialah, ia berlaku bukan kerana dasar yang salah, tetapi kegagalan mencipta naratif yang tepat dan maklumat yang tidak sampai.


AHMAD NIZAM HAMID ialah seorang peguam yang berpejabat di Temerloh, Pahang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link