Malaysia Oversight

Kerajaan negeri pulangkan 40% kepada rakyat Pahang

By Utusan in December 6, 2025 – Reading time 2 minute
Kerajaan negeri pulangkan 40% kepada rakyat Pahang


KUANTAN: Kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan Belanjawan Pahang 2026 dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai inisiatif yang dilaksanakan negeri.

Ia termasuk program kebajikan, pembangunan sosial dan usaha-usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bertemakan ‘Pahang 1st : Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’, belanjawan itu daripada rakyat dan untuk rakyat.

“Belanjawan ini dibuat secara teliti, ada retreat dan perbincangan dengan pelbagai pihak,” katanya  selepas membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang, di sini, semalam.

Menurutnya, bagi tahun 2026, negeri menyasarkan kutipan hasil mencecah RM1.279 bilion, meningkat tujuh peratus berbanding Belanjawan 2025.

“RM1.274 bilion diperuntukkan    bagi Perbelanjaan Mengurus merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan  bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap, perbelanjaan lain dan aset.

“Ia peningkatan RM91.83 juta atau 7.76 peratus berbanding 2025 dengan lebihan atau surplus sebanyak RM5 juta,” ujarnya.

Katanya, bagi menampung  perbelanjaan  pembangunan negeri dan untuk memastikan  kelancaran  pelaksanaan projek, peruntukan berjumlah RM446.26 juta diisediakan iaitu   kenaikan sebanyak 11.67 peratus daripada peruntukan pembangunan tahun 2025.

“Di kesempatan ini,. saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Persekutuan atas kelulusan 15 projek dan inisiatif untuk negeri Pahang menerusi Belanjawan 2026 yang di bentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2025,” katanya.

Selaras Aspirasi Pahang 1st. katanya, belanjawan itu adalah kesinambungan kepada visi besar negeri iaitu pelan tindakan yang  dirancang,  bersifat menyeluruh serta bersandarkan tujuh teras utama.

“Melalui pendekatan yang ikhlas dan berteraskan  tadbir urus yang baik, kerajaan negeri beriltizam membawa Pahang ke mercu kemajuan yang mampan dengan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan,” ujarnya. – UTUSAN





Source link