Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menegur syarikat gergasi teknologi, Meta, kerana kurang berkesan menangani aktiviti jenayah di platform mereka, serta memberi amaran bahawa kerajaan mungkin mempertimbangkan tindakan lanjut jika tahap kerjasama tidak dipertingkatkan.
Fahmi dalam kenyataan hari ini berkata, satu mesyuarat diadakan bersama wakil Meta di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), disertai pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
“Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada isu kritikal melibatkan platform Meta, khususnya Facebook, termasuk perjudian dalam talian, penipuan, penyebaran maklumat palsu, kandungan 3R (agama, kaum, institusi diraja) serta penjualan produk terlarang seperti cecair vape bercampur dadah,” katanya.
Fahmi berkata setakat 19 Sept lalu sebanyak 168,774 permohonan penurunan kandungan dikemukakan kepada Meta terkait platform Facebook saha yang mewakili 59 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di semua platform media sosial di Malaysia.
“Daripada jumlah itu 120,127 berkaitan judi dalam talian, namun hanya 114,665 kandungan diturunkan. Bagi aktiviti scam pula 37,722 permohonan penurunan dibuat, dan 36,918 diturunkan.
“Baki kandungan masih kekal berlegar di platform Facebook, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius,” katanya.
Fahmi berkata berdasarkan statistik JSJK, kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) bagi tempoh 2023 hingga Ogos lalu mencatat jumlah kerugian terkumpul lebih RM248 juta melibatkan 18,128 kes.
“Jumlah tersebut menunjukkan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber.
“Hal ini memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat,” katanya.
Bagaimanapun, kata Fahmi, Meta memberikan jaminan akan mempertingkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.
Dia yang juga jurucakap kerajaan berkata Meta dan platform media sosial lain diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan, termasuk penggunaan MyKad dan MyDigital ID bagi menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun media sosial.
“Kerajaan Madani tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan digital. Meta dan semua penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara segera diturunkan.
“Kementerian Komunikasi dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan akan memperkukuh langkah pemantauan serta mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama tidak dipertingkatkan oleh Meta,” katanya.
– Bernama