IPOH: Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM34.81 juta bagi melaksanakan 137 projek pembaikan kecil pondok dan sekolah tahfiz di seluruh negara.
Peruntukan ini termasuk untuk lapan institusi di Perak sebagai usaha mengintegrasikan aspek kerohanian serta akhlak dalam sistem pendidikan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu akan digunakan untuk kerja-kerja pembaikan segera kemudahan asas seperti bumbung, tandas dan bilik darjah.
Tujuannya adalah bagi memastikan keselesaan pelajar di institusi pondok dan tahfiz yang telah lama menjadi benteng kekuatan ilmu serta akhlak umat.
“Beberapa sekolah pondok, kita lihat keadaan itu sangat daif, jadi kita ada urutan beberapa pondok yang kita senaraikan sekarang, ada 137 pondok termasuk lapan pondok di Perak.
“Ini yang kita bagi keutamaan dulu dan saya sedang merencanakan selepas mengumumkan Belanjawan 2026 semalam, bagaimana boleh kita tambah supaya semua kemudahan itu sampai ke sekolah,” katanya ketika berucap pada Kenduri Rakyat Bersama Warga Institut Pendidikan Islam (Tahfiz/Pondok) Negeri Perak di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di sini.
Beliau berkata keutamaan itu diberikan kerana kerajaan tidak hanya fokus kepada soal kemajuan, tetapi turut memberikan perhatian terhadap pembangunan rohani dan pendidikan anak-anak.
Ini sejajar dengan aspirasi pembangunan modal insan MADANI yang diperkenalkan kerajaan. – Bernama






