KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengajak seluruh rakyat di negeri ini mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah dirumah masing-masing susulan tindakan biadab Israel menahan warganegara Malaysia serta menghalang pasukan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin untuk menghantar bantuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd. Asri Mat Daud berkata, tindakan itu amat dikesali kerana kesemua sukarelawan hadir ke Gaza dalam misi kemanusiaan tanpa sebarang alatan bersenjata.
“Penahanan ini mengundang kecaman seluruh dunia. Saya berharap Kerajaan Malaysia dapat mengambil segera dengan tindakan rundingan agar semua sukarelawan yang ditahan dibebaskan secepat mungkin.
“Hal ini kerana, situasi itu mencetuskan kebimbangan seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti rapat perkembangan misi kemanusiaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Asri memberitahu, pihaknya turut mengarahkan seluruh Bahagian Dakwah Halaqat negeri menggerakkan Solat Hajat dan Qunut Nazilah di seluruh 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seramai 12 orang rakyat Malaysia yang menyertai GSF ke Gaza telah ditahan oleh tentera Israel selepas kapal mereka dipintas pagi tadi.
Manakala setakat pukul 7.50 pagi tadi, nasib lima lagi rakyat Malaysia yang berada di dua kapal berbeza masih belum diketahui selepas pusat kawalan hilang hubungan dengan mereka.
Antara 12 individu yang ditahan Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah Helmi, Norfarahin Romli (Farah Lee), Danish Nazram Murad, Nur Fazelah Mad Tahil (Zizi Kirana), Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil.
Sementara itu, lima lagi rakyat Malaysia yang terbabit dalam misi tersebut dilaporkan hilang komunikasi dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) ialah Pendakwah bebas PU Rahmat atau nama sebenarnya Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan, Norhelmi, Mohd. Asmawi dan Norazman yang berada dalam kapal Estrella serta Nurul Hidayah Mohd. Amin atau Ardell Aryana di atas kapal Mikeno.
Misi GSF itu melibatkan lebih 500 aktivis dari 44 buah negara termasuk tokoh terkenal seperti Greta Thunberg dan Mandla Mandela, cucu kepada Nelson Mandela.
Armada terdiri daripada hampir 50 kapal itu membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej solidariti untuk rakyat Gaza yang berdepan sekatan berpanjangan dan genosid oleh Israel.-UTUSAN





