KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus fokus dalam usaha meningkatkan ruang fiskal negara agar dapat meningkatkan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat termasuk sekolah dan klinik.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan tumpuan lain pada masa ini adalah beralih daripada sistem subsidi pukal kepada sistem subsidi bersasar.
Beliau memberikan contoh subsidi tarif elektrik yang diperkenalkan pada Julai 2025 yang telah memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana dengan penurunan bil elektrik sehingga 14%.
“Sebanyak 85% daripada rakyat Malaysia tidak terkesan (dengan penyasaran subsidi elektrik).”
“Jadi dengan menukar cara kita mengadakan penyasaran subsidi, kita dapat mengurangkan beban fiskal (negara),“ katanya pada sidang Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman mengenai langkah kerajaan dalam menyantuni golongan M40 berikutan peningkatan kos hidup.
Mengulas pertanyaan penilaian semula jumlah isi rumah mengikut kategori, Amir Hamzah berkata Kementerian Kewangan mengakui kerumitan kaedah berkenaan dalam menentukan setiap isi rumah.
“Berikutan itu, kementerian belum sedia untuk melaksanakannya untuk masa sekarang.”
“Kerajaan akan teruskan dengan penyasaran subsidi cara lain dan bantuan-bantuan lebih bersasar sebagai intervensi pada masa sekarang,“ katanya. – Bernama