Malaysia Oversight

Kerajaan digesa segera laksana pelan keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak

By MkiniBM in July 31, 2025 – Reading time 2 minute
Kerajaan digesa segera laksana pelan keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak


Ketua Wanita MCA Wong You Fong hari ini menggesa agar “Pelan Tindakan Digital untuk Perlindungan Kanak-Kanak” dilaksana dengan segera di Malaysia, dengan menekankan kepentingan pelan itu di tengah peningkatan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Wong berkata keperluan itu menjadi semakin mendesak memandangkan jenayah dalam talian kini semakin kompleks, termasuk yang melibatkan deepfake dan pengantunan seksual secara dalam talian (sexual grooming).

“Penting untuk polis dan pekerja sosial dilengkapi kemahiran mengenal pasti dan menangani kesalahan seksual yang dimungkinkan oleh teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan kandungan pelan yang dicadangkan tersebut.

Wong merujuk sidang media Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semalam, yang mendedahkan jumlah mangsa jenayah seksual di kalangan kanak-kanak meningkat daripada 2,561 kes pada 2020 kepada 3,892 kes tahun lalu – peningkatan sebanyak 55.7 peratus.

wog

5219e6a7992e91a60c2d0d7e4ed8ba01
Wong You Fong

“Ini bukan sekadar angka. Setiap kes adalah seorang kanak-kanak sebenar, sebuah keluarga, dan satu kehidupan yang terjejas akibat trauma. Di sebalik setiap statistik, ada mangsa yang penderitaannya tidak boleh dipandang ringan,” kata Wong.

Dia turut menggesa menubuhkan pasukan petugas khas yang melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Kementerian Komunikasi untuk menyelaras siasatan, memperkukuh pemantauan dan memperkenal langkah pencegahan yang bersasar.

Beberapa negara seperti Australia, Singapura dan Finland telah melaksanakan kerangka rentas agensi bagi mencegah pencabulan seksual terhadap kanak-kanak.

“Antaranya termasuk pendidikan wajib di sekolah, sistem perlindungan dan pelaporan yang jelas, pangkalan data nasional untuk menjejak individu berisiko tinggi, keupayaan siasatan digital yang dipertingkat, serta sokongan lebih besar kepada keluarga,” katanya.

Cabaran

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah memberitahu Parlimen bahawa polis telah menyiasat 287 kes berkaitan penghasilan, pemilikan, pengedaran, capaian, muat turun dan muat naik bahan penderaan seksual kanak-kanak sejak 2021.

Sebanyak 90 peratus kes diasat telah membawa kepada sabitan.

Namun Shamsul berkata polis masih berdepan beberapa cabaran dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak, termasuk penggunaan rangkaian peribadi maya (VPN) oleh pelaku untuk menutup jejak, pemadaman atau penyulitan bukti digital, serta penggunaan deepfake untuk menghasilkan imej dan video kanak-kanak yang tidak wajar.

Kenyataan Shamsul bahawa penggunaan deepfake menyukarkan siasatan menerima kritikan aktivis hak kanak-kanak, yang menegaskan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mendakwa mereka yang terlibat dengan imejan kanak-kanak berunsur seksual yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

“Undang-undang tidak memerlukan sebarang pengesahan ke atas ‘ketulenan dan kesahihan bahan’, dan juga tidak memberi ruang kepada ‘bukti yang dimanipulasi atau dipalsukan’,” kata Pengerusi Bersama Yayasan Child Rights Innovation and Betterment (Crib) Srividhya Ganapathy.

Dia berkata anggota polis barisan depan dan pegawai pendakwaan masih kurang memahami Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, dan oleh itu ada keperluan mendesak untuk menjalankan program latihan khusus demi meningkatkan kejayaan pendakwaan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak.



Source link