KANGAR: Kerajaan Madani memberikan perhatian dan fokus yang serius untuk mengeratkan integrasi antara kaum dan semua lapisan masyarakat di negara ini.
Ia terbukti melalui penambahan peruntukan yang kepada Kementerian Perpaduan Negara dalam Belanjawan 2026 baru-baru ini bagi meneruskan agenda perpaduan nasional.
Ahli Sidang Belia Wilayah Persekutuan, Yoshan Ganesh Mitra berkata, peruntukan RM767.99 juta yang diterima Kementerian Perpaduan Negara tahun depan iaitu meningkat 7.96 peratus berbanding tahun 2025 dilihat pengiktirafan terhadap peranan kementerian memperkukuh kesejahteraan sosial rakyat.
Katanya, ia bagi memastikan perpaduan terus menjadi asas kepada kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Saya melihat di bawah kepemimpinan Kerajaan Madani, Kementerian Perpaduan Negara diberikan peranan penting menjayakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu dalam kepelbagaian, sejahtera dalam perbezaan serta progresif dalam pendekatan sosial dan ekonomi.
“Setiap program yang dirancang di bawah Belanjawan 2026 bukan sekadar melibatkan pembangunan fizikal tetapi bertujuan mengukuhkan hubungan sosial dan membina semangat saling memahami di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya,” katanya.
Penolong Setiausaha Pertubuhan Intelek Wawasan Malaysia (INTELEK), Muhammad Ameer Hafidz Abdul Salim pula berkata, peningkatan peruntukkan bagi memperkukuhkan Tabika Perpaduan termasuk dana bantuan makanan tambahan menunjukkan kerajaan sedang berusaha membentuk identiti nasional harmoni sejak usia prasekolah.

Kata beliau, ia sejajar dengan hasrat untuk melahirkan generasi Malaysia yang memahami kepelbagaian sebagai kekuatan.
“Pada tahun 2025, kerajaan memperuntukkan sekitar RM10 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan Tabika Perpaduan di seluruh negara dan usaha tersebut diteruskan dan diperluas dalam Belanjawan 2026 dengan peruntukan ditingkatkan kepada RM20 juta,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Sosial Pertubuhan Peduli Masyarakat (Permas), Roger Hugo Amandus berkata, pendekatan Belanjawan 2026 dilihat seimbang antara pembangunan sosial dan fizikal, serta mampu merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar khususnya dalam soal semangat kebersamaan dan muhibah.

“Ramai orang bandar sibuk dengan kerja sampai lupa erti kejiranan. Bila ada program komuniti macam gotong-royong atau sambutan perayaan anjuran Rukun Tetangga, kita dapat melihat semula semangat kekitaan. Saya berharap lebih banyak aktiviti seumpama itu diperluas ke kawasan pangsapuri dan perumahan baharu agar masyarakat bandar tidak terpisah dalam gaya hidup moden,” katanya.-UTUSAN






