MCA mendakwa pihaknya berjaya mempengaruhi keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membenarkan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan dan minuman terus menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa perlu permit.
“Ini juga secara langsung membuktikan bahawa isu yang dibangkitkan MCA ada asasnya, dan MCA tidak bermain fitnah atau melempar kritikan semata-mata untuk agenda politik, tetapi sebaliknya bersuara demi kepentingan rakyat bersandarkan fakta dan realiti di lapangan,” kata Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong pada satu kenyataan.
Menurutnya, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Naib Presiden Lawrence Low antara yang terawal menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan larangan penggunaan LPG bersubsidi itu.

“Kini, atas hasil usaha berterusan mereka bersama pemimpin-pemimpin MCA termasuk sayap Pemuda dan Beliawanis MCA serta orang ramai, KPDN terpaksa akur dan akan membuat pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021.
“Kebenaran Menteri kepada golongan peniaga kecil makanan sudah tentu menenangkan debaran hati mereka, di samping memastikan para pengguna tidak dibebankan lagi oleh kenaikan harga barangan yang semakin meningkat akibat keadaan ekonomi global dan dasar-dasar rasionalisasi subsidi kerajaan.
“Tinggal lagi, KPDN perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung garis panduan ini serta menerangkan siapakah sebenarnya yang tergolong dalam kategori perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil yang dimaksudkan.
“Ini penting bagi mengelakkan kekeliruan bukan sahaja dikalangan peniaga, tetapi juga pasukan penguatkuasa yang bertugas dilapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali berkata tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga terbabit sehingga pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 2021 dimuktamadkan pada Oktober ini.
Pada Sabtu lalu (31 Mei), Wee menyoal kenapa premis makanan tidak lagi dibenarkan menggunakan tong gas bersubsidi yang diperuntukkan untuk kegunaan rumah, sebaliknya diarahkan menggunakan gas komersial.
Dia turut mempertikaikan kewajaran peniaga perlu memohon permit sekiranya menggunakan lebih daripada tiga tong gas sebulan.
Armizan (gambar bawah) kemudian membalas bahawa peraturan tersebut berasal daripada pentadbiran kerajaan terdahulu yang turut melibatkan Wee.

Mengulas lanjut, Neow berkata keputusan kementerian itu mampu meredakan kegusaran peniaga makanan kecil dan memastikan pengguna tidak dibebani lagi.
Neow menegaskan MCA akan terus memantau isu tersebut dan menekankan komitmen parti untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.