Malaysia Oversight

keputusan undur diri seketika dalam seni lakon bukan kerana kecil hati – Fadlan Hazim

By Utusan in September 21, 2025 – Reading time 2 minute
keputusan undur diri seketika dalam seni lakon bukan kerana kecil hati - Fadlan Hazim


KUALA LUMPUR :Pelakon, Fadlan Hazim mengejutkan peminat apabila meluahkan kekecewaan serta rasa penat dengan perjalanan kerjaya seninya yang dianggap penuh cabaran.

Tidak terhenti di situ, Fadlan melalui satu hantaran di media sosial juga menyebut mahu mengambil keputusan untuk berundur diri daripada dunia seni lakon buat seketika.

Katanya, ini kerana dia merasakan sudah bertahun-tahun berjuang mencari tempat dalam industri hiburan, namun sering berdepan dengan penolakan.

“Saya penat. Bertahun-tahun mencurahkan masa, hati dan jiwa kepada seni yang saya cintai… tetapi sering dibalas dengan kesunyian. Kebanyakan masa, terasa seperti saya membuat persembahan dalam kegelapan,” katanya.

Menurut Fadlan, keputusan untuk berundur itu bukanlah kerana kecil hati, sebaliknya satu langkah untuk memberi ruang kepada dirinya selepas berusaha sedaya upaya tetapi masih belum mendapat peluang yang diharapkan.

“Ini bukan sebab kecil hati. Ia hanya realiti apabila anda sudah mengetuk semua pintu, tetapi masih berada di luar.

“Namun saya tetap bangga dengan perjuangan ini walaupun tidak ramai yang melihatnya,” tambahnya.

Dalam masa sama, Fadlan sempat menzahirkan penghargaan kepada mereka yang pernah menyokong karya-karyanya, walaupun secara senyap.

Katanya, sokongan itu membuatkan dirinya bertahan lebih lama dalam industri.

Fadlan turut memberi bayangan masih mencari arah tuju seterusnya, namun buat masa ini memilih untuk berehat dan menenangkan diri.

Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat yang rata-rata menitipkan kata-kata semangat serta berharap pelakon itu kembali bangkit dalam dunia seni tanah air.





Source link