TAPAH: Seramai 31,281 pengundi yang layak bakal menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning esok.
Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran akan dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup secara berperingkat antara pukul 4 hingga 6 petang.
Seramai 601 petugas termasuk polis pengiring akan bertugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, semua pengundi digalakkan keluar mengundi pada tempoh masa yang ditetapkan dan dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat akhir.
Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan bagi membuktikan mereka adalah pemilih berdaftar di kawasan berkenaan.
“Mereka boleh memilih masa yang sesuai namun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, kita sarankan untuk keluar awal.
“Pengundi juga perlu mematuhi larangan yang dikuatkuasakan iaitu tidak memakai pakaian yang memaparkan nama, lambang, simbol atau gambar parti apabila memasuki pusat mengundi esok,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir oleh petugas SPR di Dewan Merdeka Tapah, di sini hari ini.
Menurut beliau, keputusan rasmi PRK DUN Ayer Kuning dijangka akan diperoleh sekitar pukul 9 malam esok.
“Berdasarkan kawasan yang tidak luas dan sekiranya berjalan lancar, Insya-Allah sekitar pukul 9 malam kita boleh maklumkan keputusan secara rasmi,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya menerima lebih 33 laporan melibatkan bahan kempen.
Katanya, kebanyakan kesalahan melibatkan pemasangan poster di tempat yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti tepi jalan yang menghalang lalu lintas.
“Saya dimaklumkan ada empat laporan melibatkan individu yang mana kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan,” katanya.
Pada Selasa lalu, seramai 500 anggota polis dan pasangan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di mana seramai 476 orang mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor manakala 24 lagi di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.
Pilihan raya DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UTUSAN