Malaysia Oversight

Keputusan Lembaga Pengampunan tukar hukuman mati muktamad

By MkiniBM in November 12, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak, menilai semula atau mengubah keputusan Lembaga Pengampunan yang menukar hukuman mati pesalah kepada penjara seumur hidup (pemenjaraan bertempoh).

Hakim Mahkamah Rayuan Che Mohd Ruzima Ghazali yang membacakan keputusan panel pagi tadi berkata Mahkamah Persekutuan hanya berkuasa menyemak atau menilai semula hukuman mati yang dijatuhkan atau dikekalkan oleh mahkamah itu sendiri, termasuk hukuman mati yang disahkan oleh Lembaga Pengampunan selepas petisyen pengampunan ditolak.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebulat suara memihak kepada pihak pendakwaan yang memfailkan permohonan semakan untuk membatalkan keputusan panel Mahkamah Persekutuan terdahulu bertarikh 27 Ogos tahun lalu.

Pihak pendakwaan merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan berhubung tiga banduan yang hukuman mati mereka ditukar kepada penjara seumur hidup bagi kesalahan dadah — namun dibenarkan memulakan tempoh hukuman dari tarikh tangkapan, bukan tarikh perintah Lembaga.

30c961e05fc29709b18782056797e404

Tiga banduan tersebut ialah G Jiva, 56, warga Thailand Phrueksa Thaemchim, 42 dan warga Zambia Mailesi Phiri, 48 — masing-masing disabitkan kesalahan mengedar dadah dan ditangkap pada 2007, 2009 dan 2021.

Jiva menerima pengampunan pada 2022, Phrueksa pada 2017 dan Mailesi pada 2021, dengan hukuman mereka ditukar kepada penjara 30 tahun.

Namun, pihak pendakwa raya berhujah keputusan panel terdahulu itu melangkaui bidang kuasa Mahkamah Persekutuan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

“Pemberian pengampunan tersebut sudah tentunya merubah status responden-responden dari banduan akhir yang sedang menghadapi hukuman mati kepada banduan yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan bertempoh walaupun responden tersebut tidak berpuas hati dengan tarikh permulaan hukuman, keputusan lembaga pengampunan – ketidakpuashati responden responden tidak menjadikan keputusan lembaga pengampunan terbatal,” kata Che Ruzima.

Tidak boleh cabar kuasa Lembaga Pengampunan

Hakim itu juga berkata terdapat beberapa keputusan mahkamah terdahulu yang konsisten menyatakan bahawa kuasa budi bicara Lembaga Pengampunan tidak boleh dicabar atau disemak secara kehakiman.

“Oleh itu kami berpandangan bahawa tindakan responden responden mengemukakan permohonan menurut Subsection 31 Akta 47 ialah serupa dengan tindakan mencabar keputusan pengampunan yang tidak dibenarkan sama sekali menurut undang undang

“Begitu juga dengan isu bidang kuasa. Kami mendapati bahawa mahkamah ini tidak ada bidang kuasa untuk mengubah keputusan lembaga pengampunan,” kata Che Ruzima.

Panel turut mengisytiharkan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 27 Ogos lalu sebagai tidak sah, kerana mendapati mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengubah keputusan Lembaga Pengampunan.

b065d39ebcdfe798c3f5beba90e024d6

Panel lima hakim itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi.

Banduan-banduan terbabit diwakili oleh peguam K Simon Murali, N Sivananthan dan Abdul Rashid Ismail manakala pendakwaan dikendalikan oleh Saiful Edris Zainuddin, Tetralina Ahmed Fauzi, Solehah Noratikah Ismail dan Arif Aizuddin Masrom.

Ruang rayuan baru

Dalam menyokong keputusan panel, Wan Ahmad Farid menegaskan keputusan hari ini tidak menutup ruang sepenuhnya buat ketiga-tiga banduan.

“Ringkasnya, ini bukan penghujung jalan untuk responden. Mereka masih bebas memfailkan petisyen baru kepada Lembaga Pengampunan masing-masing untuk memohon pertimbangan semula tarikh permulaan hukuman penjara, selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan Pulau Pinang pada Januari 2025.

Lembaga Pengampunan mempunyai prerogatif untuk menilai semula tarikh mula hukuman penjara.

“Dari sudut ini, responden tidak boleh dianggap teraniaya kerana masih ada saluran lain yang boleh diterokai,” katanya.

[Baca berita asal]



Source link