Malaysia Oversight

Kepimpinan wanita ‘lembu betina’ pendapat Salman bukan PAS

By MkiniBM in August 5, 2025 – Reading time 2 minute
Kepimpinan wanita 'lembu betina' pendapat Salman bukan PAS


Ketua Wanita PN, Mas Ermieyati Samsudin menegaskan kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Kawasan Maran, Muhammad Salman Al Farisi, yang menyamakan wanita dalam kepimpinan dengan “lembu betina” dalam kawanan ternakan, merupakan pandangan peribadinya dan tidak mencerminkan pendirian rasmi parti .

Ahli parlimen Bersatu mewakili Masjid Tanah itu turut menyifatkan kenyataan Salman sebagai terpencil dan tidak melambangkan sikap keseluruhan kepimpinan , terutama dalam soal penglibatan wanita dalam arena politik.

“Saya rasa itu adalah pendapat peribadi (Muhammad) Salman dan ia tidak mempamerkan pendirian atau pandangan pimpinan PAS atau PAS sendiri,” katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas kenyataan yang disifatkan memperlekehkan peranan wanita sebagai pemimpin.

Dalam hantaran media sosial yang dimuat naik sebelum ini, Muhammad Salman berkata pengalaman menternak lembu selama lebih setahun menunjukkan lembu betina sering memimpin kawanan dengan menentukan lokasi meragut, waktu berehat dan masa pulang manakala lembu jantan hanya menjaga keselamatan.

4b6d60b88c2216ec32e054a3191b1997

Kenyataan itu mencetus kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk pengasas Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan, yang menyifatkannya sebagai seksis, biadap dan berbahaya kepada kemajuan masyarakat.

Bagaimanapun, Mas Ermieyati mengakui kenyataan Muhammad Salman boleh dianggap sebagai tidak wajar dan berunsur seksis.

“Saya tak nafikan kenyataan itu boleh dilihat sebagai seksis.

“Walaupun ia datang daripada seorang pimpinan peringkat kawasan, pada saya beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu,” katanya lagi.

8ff920468b4ebcabf7ee34551d8f21ba

Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), menekankan PAS kini lebih inklusif terhadap penyertaan wanita dalam politik, termasuk pelantikan sebagai Ahli Parlimen dan Senator.

“Kalau kita lihat PAS hari ini lebih terbuka. Malah, bilangan Ahli Parlimen wanita PAS semakin bertambah, belum lagi termasuk Senator. Ini menunjukkan parti tidak meminggirkan penyertaan wanita,” katanya.

PAS ketika ini memiliki lima ahli parlimen wanita daripada keseluruhan 43 kerusi Dewan Rakyat yang dimenanginya: Mumtaz Md Nawi (Tumpat), Siti Mastura Mohamad (Kepala Batas), Salamiah Mohd Nor (Temerloh), Halimah Ali (Kapar) dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).

Walaupun belum mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita yang sering dijadikan penanda aras dalam politik, peningkatan ini dianggap perkembangan positif.



Source link