KUALA LUMPUR: Kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberi tumpuan kepada perkara yang menjadi keutamaan dalam melaksanakan tugas, bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, setiap tindakan dan keputusan pada masa hadapan bergantung kepada keupayaan untuk memimpin dengan memberi tumpuan kepada keutamaan yang tepat.
“Saya berharap pimpinan tertinggi PDRM dapat memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi, mengenal pasti permasalahan di dalam pasukan dan jabatan masing-masing.
“Saya percaya Datuk dan Tuan Puan (kepimpinan) memahami tugas dan tanggungjawab ini dengan baik dan sempurna serta mengetahui yang mana dahulu, yang mana ke belakang,” Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Mess Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, keutamaan kepimpinan tertinggi PDRM dalam memastikan pelaksanaan yang telah ditetapkan dapat kita laksanakan dengan baik dan sempurna.
“Semua orang mengatakan bahawa mereka sibuk, semua orang mengatakan mereka terlibat dalam banyak urusan tetapi dengan sikap kita yang positif, sikap kita yang mengetahui yang mana perlu didahulukan, yang mana perlu dikemudiannya adalah penting,” jelasnya.
Mohd. Khalid berkata, keutamaan itu perlu diberi perhatian khusus berikutan beberapa insiden kebelakangan ini yang dilihat begitu kerap berlaku termasuk kes pembunuhan dan kematian.
“Saya berharap kepimpinan tertinggi PDRM terutama Pengarah JSJ baharu dapat mendepani permasalahan ini dengan baik dan sempurna, berilah keutamaan dan lihatkan apakah laungan rakyat di bawah sana yang memerlukan perhatian semua pihak.
“Pada hari ini, isu-isu di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur nampaknya perlu kepada perhatian dan keutamaan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Khalid menyaksikan penyerahan nota serah terima tugas dan tongkat kuasa jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman daripada pemangku pengarah, Datuk Fadil Marsus kepada Datuk M. Kumar.
Kumar mengambil alih tugas Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS). – UTUSAN