Presiden PKR Anwar Ibrahim telah memanggil barisan kepimpinan baru parti itu untuk bermesyuarat dan menjalankan post-mortem terhadap pemilihan minggu lalu serta membuat keputusan mengenai lantikan jawatan parti.
Amirudin Shari, yang mengekalkan jawatannya sebagai naib presiden, berkata antara agenda mesyuarat adalah perbincangan mengenai jawatan lantikan untuk Rafizi Ramli, yang tewas dalam perebutan kerusi timbalan presiden parti pada Jumaat lalu.
“Semoga dia masih boleh menyumbang kerana dia berjanji tidak akan keluar parti.
“Dia masih mahu menyumbang sebagai ahli,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today semalam.

Amirudin berkata mesyuarat itu akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi.
Antara jawatan lantikan dalam PKR termasuk setiausaha agung serta naib beberapa jawatan naib presiden.
Selain merancang untuk letak jawatan sebagai menteri ekonomi, Rafizi telah juga sebelum ini berkata dia tidak berminat untuk memegang sebarang jawatan parti sekiranya tewas dalam pemilihan.
Minggu lalu, ahli Parlimen Pandan itu mendedahkan bahawa semasa pertemuan dengan Nurul Izzah Anwar pada 20 Mei, Nurul Izzah telah memintanya untuk membantunya selepas pemilihan parti berakhir dan membayangkan dia akan diberi jawatan.
Namun, Rafizi berkata dia menolak tawaran itu dan akan menghormati keputusan pemilihan.
Mengulas perkara itu, Amirudin berkata dia tidak tahu jawatan apa yang ditawarkan oleh Nurul Izzah kepada Rafizi.
Dalam pemilihan tersebut, Nurul Izzah menang jawatan timbalan presiden PKR dengan majoriti besar, dengan Rafizi hanya meraih 28 peratus undi.
Susulan kekalahan itu, Rafizi berkata dia tetap bersemangat dan bertekad untuk terus berjuang demi Malaysia yang lebih baik.
“Saya tidak berniat untuk berputus asa dan lari dari cita-cita idealisme kita selama ini, iaitu Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik,” katanya.