Aktivis dan ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock menuntut usaha berterusan dibuat susulan keputusan siasatan terbaru polis yang mengklasifikasikan kes kematiannya sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Bercakap dalam sebuah forum di Kuala Lumpur malam tadi, adik mendiang, Teoh Lee Lan menegaskan keluarganya akan terus menolak keputusan NFA tersebut, dalam usaha mereka untuk menuntut keadilan.
“Selepas kami terima surat (daripada polis), saya mesej semua pemimpin DAP untuk tanya pandangan mereka tentang keputusan NFA itu,” kata Lee Lan, merujuk kepada gesaan sebelum ini agar para menteri daripada DAP meletakkan jawatan sebagai protes terhadap keputusan yang dibuat Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Sepuluh bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu saya, ahli keluarga saya dan anak Beng Hock. Apa yang dia kata? Dia kata akan arahkan polis buka semula siasatan berdasarkan keputusan mahkamah,” katanya.

Namun, Lee Lan meluahkan kekecewaannya terhadap Anwar dan barisan menteri lain, yang ketika menjadi pembangkang sentiasa menyokong perjuangan mereka.
“Dua minggu sudah berlalu. Perdana menteri kita — sekarang ada perang di luar negara dan anda boleh minta mahkamah antarabangsa untuk menyiasat (pelaku) atas kesalahan bunuh.
“Jadi, kenapa tidak buat hal yang sama untuk Beng Hock? Kenapa tidak untuk warganegara sendiri?
“Bolehkah kami terima keputusan NFA? Tidak, kami tidak boleh terima,” tegasnya.
Lee Lan telah secara konsisten menggesa kerajaan untuk mengklasifikasikan semula kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh, selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun 2014.
Pada 2009, Beng Hock, yang merupakan pembantu kepada Adun Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor yang ketika itu beroperasi di Plaza Masalam, Shah Alam.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011 memutuskan Beng Hock membunuh diri ekoran soal siasat yang agresif, namun Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya berpunca daripada atau dipercepatkan oleh perbuatan yang melanggar undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM.
Turut menjadi panel forum ialah peguam dan aktivis hak asasi manusia M Visvanathan, yang mencadangkan agar AGC melantiknya sebagai pendakwa raya ad hoc untuk kes berkenaan.

“Jika dilantik, saya akan selesaikan kes ini dalam masa 21 hari,” kata Visvanathan yang juga pengerusi NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan Bersama (Edict).
“Kita sudah ada beberapa orang peguam negara, perdana menteri dan ketua polis negara sejak 2009, namun misteri kematian Teoh masih menghantui negara ini,” katanya lagi.
Pada Februari lalu, polis memaklumkan mereka akan menggunakan teknologi pembinaan semula tempat kejadian jenayah dalam bentuk 3D bagi membantu siasatan.
Namun, pada bulan yang sama, keluarga Beng Hock mendakwa polis terus-menerus menyoal siasat mereka berbanding pegawai SPRM yang terlibat dalam kematiannya.