Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Gan Ay Ling, menyuarakan kebimbangan berhubung keputusan menaikkan tarif air di negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Indera Kayangan itu berkata kenaikan tarif air Perlis hanya menambah beban hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, wanita dan ibu tunggal.
“Saya merujuk kepada keputusan kenaikan tarif air di Perlis daripada RM7.20 kepada RM8.80. Ia merupakan kenaikan sebanyak 22 peratus yang kini menjadi isu besar dalam kalangan pengguna, khususnya isi rumah berpendapatan rendah dan rakyat luar bandar di Perlis.
“Kenaikan ini berlaku dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, dan ia amat membebankan terutama bagi wanita, ibu tunggal dan ketua keluarga yang bergelut untuk menyediakan keperluan asas harian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kadar tarif air bagi pengguna domestik di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan dinaikkan bermula 1 Ogos lalu susulan pewartaan struktur baru tarif air yang diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Menerusi kadar baharu itu, Perlis menyaksikan kenaikan caj minimum daripada RM7.20 kepada RM8.80 dengan peningkatan sebanyak RM1.60.
SPAN sebelum ini memaklumkan pelaksanaan tarif baru itu merupakan sebahagian daripada usaha menyelaras struktur tarif air yang lebih mampan, selain membolehkan operator menampung kos operasi serta penyelenggaraan sistem bekalan air secara lebih berkesan.
Gan yang juga Timbalan Pengerusi PKR Perlis turut mempersoalkan justifikasi kenaikan tersebut memandangkan mutu perkhidmatan air di negeri terbabit masih berada pada tahap yang mengecewakan.
Antara aduan yang sering diterima oleh pihaknya, kata Gan, termasuklah tekanan air rendah, bekalan air keruh, dan gangguan bekalan tanpa notis yang jelas.
“Dan paling ketara, kadar air tidak berhasil (non revenue water atau NRW) Perlis dikatakan antara yang tertinggi di Malaysia iaitu kira-kira 62 peratus. Ini bermakna lebih daripada separuh air terawat hilang sebelum sampai ke pengguna,” kata Gan.
Tambah Gan, timbul persoalan mengapa pengguna harus menanggung beban kegagalan sistemik Syarikat Air Perlis (SAP).
Katanya, PKR Perlis tidak melihat ada pelan jangka panjang atau strategi telus daripada SAP untuk mengurangkan NRW seperti membaik pulih paip lama atau meningkatkan kapasiti sistem rawatan air.
“Kenaikan tarif ini bukan sekadar angka, ia lebih cenderung membebankan dan mengurangkan kemampuan wanita serta ibu tunggal mengurus belanja rumah, pendidikan anak dan keperluan dapur.
“Kesan psikologi dan tekanan kehidupan harian terhadap keluarga B40 pasti berlipat ganda ekoran kenaikan mendadak ini,” katanya.
Sehubungan itu, Gan mendesak kerajaan PN dan SAP membuat penjelasan terperinci berhubung kenaikan tarif tersebut terutama mengenangkan status Perlis sebagai salah satu negeri termiskin di Malaysia.
“Kita mahu tahu bagaimana hasil kenaikan tarif ini akan digunakan, apa rancangan SAP menyelesaikan masalah tekanan air dan mutu bekalan serta adakah sebarang mekanisme subsidi atau pengecualian untuk golongan miskin,” tambahnya.