Warisan mengecam siasatan polis terhadap sebuah portal berita kerana mendedahkan satu dakwaan skandal perlombongan di Sabah yang membabitkan bekas pembantu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mudi Dubing berkata dia kesal terhadap tindakan pihak berkuasa yang menyasarkan media, bukannya menyiasat dakwaan tersebut.
“Persoalannya timbul: Apakah yang telah berlaku kepada sistem keadilan dan keluhuran undang-undang di negara kita?
“Wartawan yang membongkar salah laku kerajaan melibatkan ‘VVIP’ pula yang disiasat, sedangkan ‘VVIP’ yang didakwa terlibat dalam salah laku dibiarkan bebas dan tidak disentuh oleh siasatan,” katanya pada satu kenyataan.
Mudi berkata tindakan seperti ini seolah-olah menghantar mesej kepada rakyat bahawa kerajaan berniat untuk menyekat kebebasan media dan melemahkan peranannya sebagai pemantau terhadap pihak yang berkuasa.
“Kebebasan media adalah asas kepada sebuah masyarakat demokratik. Kami mendesak kerajaan untuk menghentikan segala bentuk tekanan terhadap media dan terus berpegang teguh kepada komitmen mempertahankan kebebasan akhbar di negara ini.
“Kegagalan berbuat demikian mungkin menjejaskan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia dan mencemarkan imej negara di pentas antarabangsa,” tambahnya.
Semalam dilaporkan MalaysiaNow sedang disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana membocorkan dokumen sulit, susulan satu laporan polis yang dibuat oleh syarikat milik kerajaan negeri, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).
Portal berita tersebut juga menyatakan mereka turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) kerana penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian.
Pada 24 Julai, MalaysiaNow menerbitkan satu klip audio berkaitan dakwaan bahawa lesen penerokaan perlombongan di Sabah telah diluluskan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.
Menurut laporan itu, rakaman berkenaan dipercayai daripada mesyuarat pada Mei 2024 yang melibatkan lembaga pengarah SMM yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Hajiji Noor.
MalaysiaNow mendakwa rakaman tersebut membuktikan Hajiji menyatakan sokongan terhadap syarikat Bumi Suria Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Farhash, walaupun Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong, dilaporkan menyuarakan kebimbangan.
Pada 21 Julai, SMM menafikan mana-mana syarikat yang ada kaitan dengan Farhash telah diberikan lesen penerokaan di negeri itu. Farhash juga mengeluarkan penafian serta surat tuntutan berhenti dan berhenti (cease and desist) terhadap MalaysiaNow.
Pada 25 Julai, SMM menjelaskan pihaknya telah memberikan kebenaran bersyarat kepada Bumi Suria untuk memohon lesen penerokaan, tetapi kebenaran tersebut kemudian dibatalkan selepas syarikat itu gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.
SMM dan Hajiji kini menjadi tumpuan selepas pendedahan Malaysiakini bahawa seorang ahli perniagaan didakwa telah merasuah sekumpulan ahli politik GRS sebagai balasan untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.
Semalam, Bersatu dan Umno pula menyoal kenapa hanya dua Adun sahaja yang telah diseret ke mahkamah setakat ini, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kemungkinan wujudnya pendakwaan terpilih.
[Baca berita asal]