Malaysia Oversight

Kenapa bentang RUU tergesa-gesa ketika PSC dinaik taraf?

By MkiniBM in August 28, 2025 – Reading time 1 minute
Kenapa bentang RUU tergesa-gesa ketika PSC dinaik taraf?


Bersih hari ini mempersoalkan langkah membentangkan beberapa rang undang-undang (RUU) dalam keadaan “tergesa-gesa” ketika kedudukan jawatankuasa parlimen (PSC) dinaik taraf untuk proses reformasi.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, berkata berusaha mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen menerusi RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 pada awal Mac lalu.

Menerusi usaha menaik tarafan itu, katanya, anggota PSC diberi ruang lebih besar dan tugasan lebih signifikan dalam proses semak imbang, pemantauan dan pembuatan dasar yang lebih komprehensif.

“Namun, baru-baru ini terdapat beberapa RUU yang dibentangkan dalam keadaan tergesa-gesa di parlimen.

“Ia termasuklah RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan RUU Perolehan 2025.

“Persoalannya, mengapa RUU ini tidak melalui PSC yang berstatus tetap ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Faisal dalam konteks RUU Perolehan Kerajaan, ruang harus diberikan kepada PSC Kewangan dan Ekonomi yang berperanan menjadi badan pemantau dan semak imbang Kementerian Kewangan, Ekonomi, Pelaburan Perdagangan dan Industri dan Jabatan Perdana Menteri.

Begitu juga dengan RUU Pembaharuan Semula Bandar. Katanya Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi berperanan untuk memantau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sepatutnya diberikan ruang.

“Melihat ke hadapan, kita akan melihat beberapa pembentangan RUU penting termasuk RUU Kebebasan Maklumat, RUU Ombudsman dan lain-lain.

“Proses perbahasan RUU mesti ditambah baik selaras dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan reformasi parlimen secara berkesan.

“Jika tidak, usaha reformasi insitusi parlimen akan hanya dilihat sebagai kosmetik tidak berasaskan kepada komitmen reformasi yang sebenar,” katanya.



Source link