PARLIMEN | Penggunaan kemudahan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) masih terkawal, namun langkah pengawalseliaan sedang dipertingkatkan menerusi Akta Kredit Pengguna (AKP) 2025 untuk melindungi pengguna.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata statistik terkini menunjukkan sebanyak 102.6 juta transaksi BNPL bernilai RM9.3 bilion direkodkan pada separuh pertama tahun ini, meningkat 3.1 peratus daripada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024.
Dia berkata jumlah pinjaman BNPL setakat 30 Jun lalu ialah RM3.8 bilion iaitu 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.
“Jumlah BNPL yang tidak berbayar atau tertunggak buat masa sekarang adalah terkawal iaitu RM121.8 juta atau 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL.
“BNPL ini masih terkawal, dan dengan akta ini (AKP) kerajaan akan tingkatkan lagi pengawalan terhadap sektor berkenaan.
“Pada saya, buat masa ini, kita ada cukup pengawasan terhadap sistem BNPL,” katanya ketika sesi pertanyaan di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah berkata demikian bagi menjawab soalan Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai sama ada kerajaan bersedia atau tidak mengklasifikasikan sebahagian skim BNPL sebagai risiko kredit bagi sosial dan mengehadkan penggunaan ke atas produk tertentu seperti makanan asas atau keperluan isi rumah demi mengelakkan kesan hutang berganda.
Kata Amir Hamzah Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang baru ditubuhkan akan mengawal selia perkembangan semasa sektor industri kredit termasuk BNPL dan sedang mengkaji had kadar faedah yang dikenakan penyedia kemudahan itu serta mengambil kira mekanisme patuh syariah.
“Dalam hal ini, SKP akan mengambil pendekatan pengawalseliaan melalui standard pelakuan yang akan dirangka secara seimbang dan bersekadar,” katanya.
Dia menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai sama ada SKP bercadang mengenakan had kadar faedah atau tidak, selain berkenaan langkah kementerian memastikan penyedia BNPL patuh syariah.
Amir Hamzah berkata buat masa ini, terdapat beberapa amalan penyedia BNPL berkaitan kadar faedah dan kebanyakannya mengenakan caj 1.5 peratus sebulan atau kira-kira 18 peratus setahun.
“Secara amnya kadar faedah dikenakan pemain industri BNPL ialah 15 hingga 30 peratus setahun.
“Sementara itu, terdapat juga penyedia BNPL yang tidak mengenakan sebarang caj kadar kaedah.
“SKP akan mendapatkan maklumat menyeluruh dan menganalisis cara paling baik untuk mengawal selia perkara ini,” katanya.
Mengikut AKP 2025 kelak, syarikat yang menawarkan skim BNPL dikehendaki mematuhi keperluan pelakuan dan amalan pemberian kredit yang bertanggungjawab bagi melindungi pengguna kredit.
“Berkenaan ini, penilaian kemampuan berhutang merupakan keperluan penting yang perlu dipatuhi oleh syarikat BNPL sebelum menawarkan kredit.
“Ia perlu agar peminjam termasuk generasi muda mampu membayar balik wang yang dipinjam tanpa mengalami sebarang tekanan kewangan yang serius dan akhirnya terjerumus dalam perangkap hutang,” katanya.
Amir Hamzah berkata kerajaan juga menekankan kepentingan literasi kewangan agar rakyat bijak mengurus kewangan dan memahami risiko penggunaan berlebihan BNPL bagi mengelakkan beban hutang yang tidak terkawal.
– Bernama