Malaysia Oversight

Kementerian Undang-undang sepatutnya udah lama diwujudkan

By MkiniBM in August 22, 2025 – Reading time 2 minute
Kementerian Undang-undang sepatutnya udah lama diwujudkan


Bekas Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim menyambut baik cadangan untuk menubuhkan Kementerian Undang-Undang yang khusus, menyifatkannya sebagai pembaharuan penting yang sepatutnya telah lama dilaksanakan.

Menurut Zaid, penubuhan kementerian ini bukan sahaja dapat memperkukuh institusi keadilan negara, malah boleh memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan sedia ada.

“Sudah terlalu lama Malaysia tidak menunjukkan komitmen institusi yang tulen terhadap kedaulatan undang-undang. Sejak 1995, portfolio menteri undang-undang hanyalah sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan hanya sedikit autonomi atau autoriti struktu,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Zaid berkata, struktur sedia ada mengaburkan aspek kebertanggungjawaban dan melemahkan kewibawaan jawatan tersebut, menjadikannya lebih kepada peranan politik tanpa kuasa institusi yang sebenar.

“Penubuhan sebuah kementerian yang benar-benar berdiri sendiri menunjukkan pengiktirafan baru yang keadilan tidak seharusnya menjadi lanjutan kepada politik. Ia memerlukan institusi yang berdedikasi, dihormati, bebas dan berkuasa,” tegasnya.

Katanya lagi, sebuah kementerian yang berfungsi dengan kuasa penuh boleh memainkan peranan penting dalam menyelaraskan sistem keadilan negara, khususnya dalam mengatasi perpecahan fungsi antara polis, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan badan kehakiman.

“Kementerian Undang-Undang dan Keadilan, jika disusun dengan betul, boleh menjadi badan penyatu yang meningkatkan kesepaduan, kecekapan dan ketelusan dalam pentadbiran keadilan. Ia harus menetapkan piawaian, memantau prestasi serta memastikan akauntabiliti merentasi institusi utama,” katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang Asean 2025 di Kuala Lumpur berkata, sedang menimbang untuk penubuhan Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.

berkata, langkah itu juga akan membolehkan Malaysia berperanan lebih bermakna di peringkat Asean dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang.

Dalam pada itu, Zaid menegaskan bahawa aspek kepimpinan kementerian baru ini amat penting.

“Sering kali jawatan ini diberikan kepada ahli politik yang hanya kebetulan memiliki latar belakang undang-undang, dan bukannya profesional yang benar-benar bebas dan berkebolehan. Ini telah menjejaskan keyakinan awam terhadap integriti institusi tersebut,” katanya.

Zaid turut menggesa agar tidak mengulangi kesilapan lalu dan memberi keutamaan kepada pelantikan profesional yang berintegriti tinggi dan bebas daripada pengaruh politik.

“Pelantikan kali ini harus menekankan profesionalisme, integriti dan komitmen kepada keadilan, bukan pertimbangan politik. Seorang peguam yang berwibawa dan bebas wajar dilantik untuk menerajui kementerian ini,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Zaid turut mengingatkan bahawa penubuhan kementerian ini bukanlah penyelesaian mutlak kepada pelbagai masalah sistemik yang dihadapi negara, seperti pendakwaan terpilih, kebertanggungjawaban yang lemah dan kekurangan kepercayaan terhadap institusi.

“Tanpa kepimpinan yang telus dan kebebasan yang benar, kementerian ini hanya akan menjadi satu lagi perubahan kosmetik,” katanya.



Source link