Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski, menyifatkan kejayaan Harimau Malaya menewaskan Laos 3-0 dalam perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 malam tadi adalah penghargaan buat rakyat Malaysia.
Dia juga berharap kemenangan itu mampu meniupkan semangat dan keyakinan baru orang ramai terhadap bola sepak negara.
Cklamovski berkata anak buahnya telah menampilkan komitmen dan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan, sekali gus menyudahkan penguasaan menerusi jaringan di separuh masa kedua oleh Arif Aiman Mohd Hanapi, kepten Dion Cools dan pemain gantian Mohamad Faisal Abdul Halim.
“Perlawanan malam ini (malam tadi) adalah untuk rakyat Malaysia.
“Kami mahu memberikan mereka harapan dan inspirasi melalui corak permainan kami agar mereka percaya bahawa kita boleh mencapai sesuatu yang luar biasa.
“Saya rasa jutaan penonton di tanah air menyaksikan sendiri semangat, komitmen dan disiplin yang dipamerkan oleh pemain.
“Saya amat berbangga dengan semua pemain dan seluruh pasukan kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Laos, di Vientiane, malam tadi.
Dia juga menzahirkan penghargaan kepada Ultras Malaya dan penyokong yang hadir ke stadium dengan sorakan mereka dapat didengari dengan jelas menerusi siaran televisyen.
“Kehadiran mereka banyak membantu kami. Mereka melihat sendiri bertapa bersemangatnya pemain beraksi demi negara,” kata pakar taktikal dari Australia berusia 47 tahun itu.
Mengulas mengenai keadaan padang, Cklamovski mengakui ia tidak begitu ideal kerana bola kerap melantun tetapi ia masih lebih baik berbanding beberapa padang dalam Liga Super Malaysia.
Sementara itu, dia turut mengambil kesempatan mempertahankan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang menerima kritikan susulan hukuman dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) ke atas FAM serta tujuh pemain warisan skuad negara.
Cklamovski berkata Tunku Mahkota Ismail – yang merupakan pemilik JDT- memainkan peranan besar dalam meningkatkan standard pasukan kebangsaan.
Dalam pada itu, skuad kendalian Cklamovski akan menanti kedatangan Laos dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.
Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini mendahulu Kumpulan F dengan sembilan mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (tiga mata) dan Nepal tanpa sebarang mata.
– Bernama






