JOHOR BAHRU: Barisan kejurulatihan Harimau Malaya mengambil keputusan untuk merehatkan Faisal Halim daripada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Palestin, Isnin ini susulan kemelut rumah tangga yang sedang dihadapinya.
Pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya melakukan perbincangan lanjut selain kapten Selangor FC itu turut mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut.
“Kami telah membuat keputusan bahawa Mickey (Faisal) tidak akan bersama pasukan bagi perlawanan menentang Palestin.Pada masa ini beliau mempunyai situasi peribadi dalam kehidupannya, dan kami hormati.
“Selain itu, terdapat kecederaan kecil di bahagian lututnya, tetapi sebenarnya ia tidak menjejaskan prestasi dia dalam bola sepak. Namun mengambil kira keadaan itu, keputusan tepat adalah untuk merehatkannya,” kata Cklamovski.
Cklamovski bagaimanapun memuji komitmen diberikan Faisal sepanjang kem latihan dan kempen perlawanan persahabatan antarabangsa skuad kebangsaan ketika ini.
“Dia sentiasa mempersiapkan diri serta memberi tumpuan dalam perkembangannya baik di dalam mahupun luar padang. Saya yakin persiapannya tidak terjejas kerana dia seorang pemain bola sepak profesional.
“Sebagai pengendali skuad kebangsaan, kami memberi sokongan 100 peratus kepadanya dan akan terus berbuat demikian,” jelasnya lanjut.
Selasa lalu, isteri Faisal iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai dengan pemain tersebut dan memberitahu pernah diceraikan pada 15 Jun lalu sebelum dirujuk kembali sehari kemudian.
Untuk rekod, Faisal dan Nur Syazwani berkahwin pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Khalish Aryan.-UTUSAN