Orang ramai diminta memberi ruang sepenuhnya kepada proses siasatan dan undang-undang dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir, kata Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Hajiji menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian sesuka hati dan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih mengenai kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Ketua Menteri juga meminta orang ramai supaya memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa terutama polis dalam melakukan siasatan terperinci berkenaan kes tersebut.
“KIta kerajaan negeri bersimpati (kepada keluarga) dengan kejadian yang berlaku. Tetapi orang ramai jangan buat andaian bermacam-macam, kita tunggu proses undang-undang berjalan sebaik mungkin.
“Sekarang ini bermacam sudah andaian dibuat yang saya tengok tidak betul, beri kepercayaan pihak polis siasat dan nanti diumum bila hasil siasatan selesai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Lok Batik di Tuaran, Sabah hari ini.
Festival empat hari yang berakhir hari ini itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman dan dihadiri isterinya Faridah Tussin serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.
Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut oleh polis demi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Semalam, jenazah remaja itu digali semula Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, kira-kira 130 kilometer dari Tuaran dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I malam tadi untuk proses bedah siasat hari ini.
Zara Qairina, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada empat pagi, 16 Julai lalu.
-Bernama