Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tingkatan empat yang ditemukan maut dalam keadaan tergantung di sebuah tandas sekolahnya pada Disember 2013, hari ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu.
Memorandum berkenaan diserahkan oleh wakil keluarga Ali Hanafiah Mohamed kepada Mohd Anas Ridzuan Shamsuddin, yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat.
Ali Hanafiah berkata memorandum itu, merangkumi tiga tuntutan utama termasuk penjelasan mengenai perobohan lokasi kejadian (tandas sekolah) sedangkan siasatan masih belum dimuktamadkan.
“Kami juga menuntut ketelusan dalam kawalan keselamatan sekolah, termasuk tindakan susulan terhadap insiden pergaduhan sebelum tragedi berlaku.
“Selain itu, kami mahu kerajaan negeri dan Yayasan Islam Kelantan menunjukkan komitmen, dengan memastikan maklumat berkaitan tersedia untuk orang awam serta membuka ruang sekiranya kes ini perlu dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, di Kota Bharu.
Turut hadir kedua-dua ibu bapa Allahyarham, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob dan Ruhani Hussin bersama penyokong keluarga.
Pada 20 Ogos, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz berkenaan.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris ditemukan mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, di Kok Lanas. Mayatnya dilaporkan ditemukan penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas itu.
Pakar forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Wan Ahmad Faris mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah. Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.
– Bernama