Malaysia Oversight

Keluarga tuntut dakwa polis, dua tahanan

By MkiniBM in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
Keluarga tuntut dakwa polis, dua tahanan


Peguam M Visvanathan mempersoalkan tindakan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang tidak mendakwa pihak-pihak berkaitan dalam kes kematian G Jestus Kevin, meskipun insiden itu sudah berlalu lima tahun.

Visvanathan, yang juga pengerusi NGO Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (Edict) berkata tiada “alasan munasabah” bagi kelewatan AGC.

Bulan lalu, Mahkamah Sesyen Kuantan memutuskan bahawa kematian Jestus dalam tahanan polis pada April 2020 berpunca daripada tindakan pihak lain.

“Keterangan saksi dan dokumentasi yang dikemukakan sepanjang prosiding inkues jelas menunjukkan si mati telah diikat, dipukul, ditendang, dan didera dengan teruk oleh dua rakan sebilik di lokap Balai Polis Bentong sehingga menyebabkan kematiannya.

c8da54d2f4895e34c61a2852f217208d

“Bukan itu sahaja, rakaman CCTV dari lokap turut jelas menunjukkan dua rakan sebiliknya melakukan kekejaman terhadap si mati atas arahan dan/atau galakan daripada pegawai polis yang bertugas.

“Rakaman tersebut, bersama bukti lain, kini berada dalam simpanan AGC, polis, dan ,” kata Visvanathan pada sidang media hari ini.

Walaupun rakaman tersebut tidak boleh disiarkan kepada umum kerana wujud saman sivil yang difailkan keluarga si mati terhadap pihak terbabit, Visvanathan berkata jika perlu dia bersedia menunjukkannya.

Menurutnya, kes sivil itu difailkan pada 2023 dan masih menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuantan.

6ee01d2bf17c4ea16020ccdaccf124a7

Dia turut menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dan Ketua Polis Negara agar memandang serius kes ini, serta meletakkan jawatan jika gagal menegakkan keadilan kepada si mati.

Visvanathan dan keluarga mangsa menuntut dua rakan sebilik yang mengikat, memukul, menendang dan mendera Jestus sehingga membawa kepada kematiannya, didakwa di bawah Seksyen 302/304 Kanun Keseksaan.

Mereka juga menuntut semua pegawai polis yang bertugas di lokap Balai Polis Bentong ketika itu segera dipecat dan didakwa di mahkamah.

“Edict dan keluarga si mati sedang menunggu respons daripada AGC, polis dan Malaysia,” tambahnya.

Bulan lalu, Koroner Salina Saiful dalam keputusannya menyatakan kematian Jestus boleh dicegah.

Mangsa berusia 30 tahun itu ditemui mati pada 5 April 2020 jam 1.05 pagi ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.

Dia pada awalnya ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan berkaitan kes curi.

Mahkamah mendapati Jestus hilang kesedaran dan mengalami kesukaran bernafas sebelum dibawa keluar dari sel, namun polis gagal menghantarnya ke hospital walaupun sedar keadaan tingkah laku abnormal dan emosi yang tidak stabil.

Koroner juga mendapati si mati tidak diawasi dengan baik semasa dalam tahanan malah diletakkan dalam sel bersama dua tahanan lain yang memburukkan lagi keadaannya.

Salina berkata tiada sebarang tindakan atau rawatan perubatan diberikan terhadap keadaan fizikal atau mental si mati, dan jika perhatian sewajarnya diberikan, kecederaannya boleh dikesan dan dirawat.

Inkues kematian Jestus bermula pada 2020 dengan 16 saksi dipanggil memberi keterangan. Timbalan Pendakwa Raya Azizah Ahmad mewakili pendakwaan manakala peguam M Visvanathan dan V Sanjay Nathan mewakili keluarga si mati.

Bapa si mati, A Ganaprakasam dan kakaknya, Irene Louis, yang hadir sidang media bersama peguam hari ini menegaskan mereka akan terus berusaha menuntut keadilan buat Jestus.

[Baca berita asal]



Source link