Adik kepada mendiang Teoh Beng Hock, Lee Lan mengemukakan tuntutan untuk pelantikan seorang pakar siasatan jenayah antarabangsa untuk menyiasat semula kematian abangnya.
Senarai tuntutan itu, yang dikongsi kepada Malaysiakini, mendesak kerajaan untuk menjemput pakar siasatan jenayah antarabangsa yang ternama — dengan perbincangan bersama keluarga — untuk memulakan siasatan bebas, profesional dan telus terhadap kematian Beng Hock.
Malaysiakini menghubungi Lee Lan bagi mendapatkan penjelasan lanjut susulan kenyataannya sebelum ini, yang mendakwa setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersikap dwistandard kerana berkata permintaan pihak keluarga untuk membawa masuk pakar antarabangsa tidak perlu dipenuhi.
Lee Lan menegaskan siasatan yang baru perlu lebih meluas dan menyeluruh, dengan mengambil kira Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu untuk kes bunuh, bagi menyiasat pertanggungjawaban individu yang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang sehingga menyebabkan kematian Beng Hock.
Katanya, ia termasuk pegawai SPRM, sebagaimana yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.
“Kenyataan forensik Dr Pornthip mengenai kecederaan pada leher Beng Hock sebelum jatuh mesti diambil kira,” katanya, merujuk kepada pakar patologi forensik terkenal dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang pernah dilantik untuk menyiasat kematian Beng Hock.

Dr Pornthip pernah membuat beberapa dakwaan mengejutkan semasa inkues pada 2009, termasuk kemungkinan Beng Hock dicekik sebelum jatuh dari tingkat 14 Plaza Masalam.
“Pakar siasatan jenayah antarabangsa itu mesti diberi kuasa penuh dan langsung dalam mengendalikan siasatan, dengan sokongan daripada pihak berkuasa Malaysia.
“Ini bermakna jika pakar itu memerlukan polis membuat tangkapan dan soal siasat, mendapatkan pandangan pakar forensik, kimia, DNA atau data, serta keperluan penterjemah atau pembantu siasatan, kerajaan mesti memberikan kerjasama sepenuhnya,” kata Lee Lan.
Perlu jemputan rasmi
Lee Lan turut memaklumkan 15 tahun lalu, keluarga Teoh pernah menghubungi saintis forensik terkenal Taiwan-Amerika, Henry Lee Chang-Yu untuk membantu siasatan.
Namun, menurutnya, Lee berkata dia hanya boleh terlibat sekiranya menerima jemputan rasmi daripada kerajaan Malaysia.
“Itulah sebabnya kami memerlukan jemputan rasmi daripada kerajaan Malaysia.
“Sejak siasatan polis pertama pada 2009, semuanya bergerak dengan salah. Polis segera mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut; mereka tidak segera menyoal siasat pegawai SPRM atau merampas telefon dan komputer riba mereka, memberikan masa yang cukup untuk menghapuskan bukti.
“Satu surat dalaman SPRM yang bocor mendakwa Hishamuddin Hashim memberikan sampel DNA-nya secara rahsia dan sering menarik tali pinggang saksi ke depan dan belakang, namun tiada siasatan dibuat terhadap dakwaan itu.
“Polis juga gagal menyiasat mengapa pegawai SPRM Klang tahu seseorang telah meninggal dunia di pejabat SPRM Selangor seawal jam tujuh pagi, sedangkan mayat Beng Hock hanya ditemui oleh seorang tukang cuci pada jam 1.30 tengah hari,” kata Lee Lan.
Hishamuddin merupakan Timbalan Pengarah SPRM Selangor ketika kematian Beng Hock.
Meskipun dia menafikan penglibatan secara langsung dalam siasatan yang membawa kepada kematian tersebut, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati dia memainkan peranan penting dalam insiden itu.
“Keluarga Teoh masih mahu Henry Lee dan pasukannya dijemput sebagai pakar siasatan jenayah antarabangsa,” kata Lee Lan lagi.
Dedah laporan kepada umum
Bagi menjamin kebebasan penuh pakar antarabangsa tersebut, Lee Lan turut mencadangkan agar satu pasukan penasihat dibentuk, terdiri daripada tokoh-tokoh yang arif mengenai kes Beng Hock dan hak asasi manusia.
Antara yang disenaraikan ialah hakim Hamid Sultan Abu Backer, Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus, wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Malaysia Edmund Bon, bekas presiden Majlis Peguam dan pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dan Ahli Parlimen Gelugor Ramkarpal Singh.
“Selepas siasatan dijalankan, laporan penuh termasuk syor mesti didedahkan kepada umum sebagai bukti keterbukaan dan ketelusan.
“Jabatan Peguam Negara juga mesti melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya untuk mendakwa pelaku kesalahan mengikut undang-undang Malaysia,” tegas Lee Lan.