Kelewatan Pakej 1B Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah sedang diatasi menerusi penyerahan surat setuju terima kepada kontraktor pada Sept tahun lalu.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, menjelaskan isu itu dalam perhatian Kementerian Kerja Raya (KKR) susulan penjelasan dan teguran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat pada 28 Ogos.
“Untuk projek Pan Borneo ini, kita kena faham bahawa bagi Sabah ada dua fasa manakala Sarawak ada satu fasa.
“Untuk satu fasa di Sabah, ia dibahagikan kepada 35 pakej pembinaan berbanding 11 pakej untuk Sarawak.
“Jadi, untuk Pan Borneo Sarawak, lebih mudah dari segi pengurusan berbanding di Sabah.
“Bagi pakej 1A (Pan Borneo Sabah), ia (dimulakan) ketika saya belum (dilantik) menteri KKR, tapi untuk pakej 1B, kita sudah serahkan surat setuju terima kepada kontraktor terbabit dan mereka sudah mulakan kerja tapak,” katanya.
Dia ditemui media selepas melawat projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Sungai Panching, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.
Anwar ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee, berkaitan kelewatan projek Pan Borneo di Sabah memaklumkan kerajaan sudah mengambil tindakan lebih tegas dan berani dengan menamatkan kontrak syarikat yang sebelum ini gagal menyiapkan fasa kerja ditetapkan.
Ia turut melibatkan kepada syarikat yang sudah diberi penyambungan kontrak sebanyak dua atau tiga kali.
“Ada disambung kontrak, ada dua kali, ada yang tiga kali. Saya sudah tamatkan supaya kita boleh kontrak semula dan insya-Allah berjaya untuk melihat dan menyaksikan perkembangan projek Pan Borneo lebih cepat. Saya yakin dengan cara tender lebih telus ini, projek ini boleh berjalan lebih baik.
“Saya terima teguran (kelewatan di Sabah). Tidak ada sebab projek sama boleh siap 98 peratus di Sarawak dan kegagalannya banyak di Sabah. Sebab itu pendekatan harus lebih tegas berani dan telus,” kata Anwar.
Nanta bagaimanapun memaklumkan, antara punca kelewatan itu disebabkan isu pengambilan tanah dan pengalihan utiliti di kawasan terbabit dengan projek berkenaan.
“Perkara itu sedang diatasi dan saya lihat setakat ini berjalan agak lancar,” ujarnya.
Mengulas mengenai projek RKAT Sungai Panching, dia memaklumkan projek pembinaan 284 unit kediaman itu dijadualkan siap Julai tahun depan.
“Setakat ini perkembangan projek RKAT di Sungai Panching sudah melebihi 50 peratus dan tadi saya mendengar taklimat daripada pihak pemaju, mereka beri jaminan ia boleh siap mengikut jadual.
“Sebelum ini, ada masalah (kelewatan) disebabkan kerja tanah dan pihak kontraktor memaklumkan ia sudah diselesaikan.
“Jadi, saya harap tidak ada masalah untuk disiapkan menjelang Julai tahun depan,” katanya.