PARLIMEN | Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, memberi penegasan mengenai kelewatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memproses permohonan syarikat untuk mendapatkan sijil halal.
Dia berkata demikian bagi menjelaskan penemuan audit kerajaan yang mendedahkan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah menganugerahkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta bagi tempoh tiga tahun kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai sijil halal Jakim.
Mengulas mengenai penemuan tersebut, Zambry (BN-Senator) berkata dia dimaklumkan syarikat berkenaan telah memohon sijil halal sebaik sahaja dianugerahkan tender pada 2024, namun hanya berjaya mendapatkan pegawai bertanggungjawab (PIC) daripada Jakim pada 14 April lalu.
“Pelantikan PIC merupakan langkah pertama dalam proses mendapatkan sijil halal yang diperlukan untuk syarikat mendaftar maklumat mereka dengan Jakim sebelum audit dan pemeriksaan premis dilakukan.
“Dalam kes ini, syarikat terbabit hanya berjaya mendapatkan PIC lebih setahun kemudian,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada Isnin lalu, laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa HCTM – yang berada di bawah seliaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – telah menganugerahkan kontrak bernilai jutaan ringgit kepada sebuah syarikat dengan tujuan utama untuk “menyediakan makanan halal kepada pesakit” hospital berkenaan.
Laporan yang dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini juga mendapati Jawatankuasa Penilaian Teknikal HCTM tidak mencadangkan syarikat tersebut kerana gagal dalam penilaian disebabkan tidak memiliki sijil halal dan pensijilan analisis bahaya dan titik kawalan kritikal (HACCP).
Audit tersebut menyatakan jawatankuasa penilaian teknikal telah menilai 12 pembida dengan markah lulus ditetapkan pada 85 peratus ke atas.
Walaupun syarikat yang memenangi tender hanya memperoleh 53 peratus — dan termasuk dalam kumpulan 10 syarikat yang gagal — ia akhirnya dipilih berdasarkan kriteria yang dipenuhi dalam penilaian kewangan, menurut laporan audit.
Jawapan terdahulu UKM kepada audit tersebut tidak menyentuh secara khusus mengenai ketiadaan sijil halal syarikat berkenaan.
Zambry turut menegaskan, kelewatan memperoleh sijil halal bukan disebabkan ketidakpatuhan syarikat terhadap piawaian halal, sebaliknya berpunca daripada kesukaran teknikal dan ketidakefisienan dalam prosedur pensijilan yang sering menyebabkan kelewatan.
“Kebiasaannya, selepas syarikat memperoleh tender, mereka diberi tempoh enam bulan untuk memohon sijil halal dan proses inilah yang sering menjadi punca kelewatan,” katanya.
“Kita perlu beri perhatian terhadap perkara ini agar syarikat dapat memperoleh pensijilan dalam tempoh yang ditetapkan oleh kontrak.
“Saya berharap isu ini dapat diselesaikan kerana ia telah menjadi perhatian umum,” tambahnya lagi.
Zambry turut memaklumkan premis lain di bawah syarikat yang sama sudah pun memiliki sijil halal yang sah, dan semua pembekal makanan yang dilantik oleh syarikat tersebut adalah yang diperakui halal.