Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menegaskan dia akan meneruskan hasratnya berkunjung ke kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang walaupun selepas ia dipasang dengan bendera gergasi oleh DAP.
Bagaimanapun, kata Akmal, rancangannya ‘membuka kelas’ bagi mengajar cara-cara memasang bendera yang betul akan dibatalkan.
Menurut Akmal, keputusan itu diambil selepas berpuas hati Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sudah mengajar pekedai berkenaan mengenai Jalur Gemilang yang betul.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Anthony Loke kerana telah bersetuju untuk pasang bendera yang besar kat situ, maksudnya nak mengajar pekedai itu cara pasang bendera.
“Jadi terima kasih kerana telah mengajar pekedai cari pasang bendera yang betul.
“Disebabkan dia dah mengajar, kelas saya itu saya tak nak buat, kita batalkan kelas tu, tapi saya tetap akan datang juga hari Khamis ini sebab kita nak tengok Anthony Loke pasang bendera sama ada betul ke tak betul dia pasang,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan DAP akan menggerakkan ahlinya di Pulau Pinang bagi mempertahankan pekedai yang tersilap mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik daripada diganggu oleh pihak tertentu.
Loke berkata pihaknya juga akan mengedarkan sebanyak 831 helai Jalur Gemilang sekiranya ada mana-mana pihak cuba mengganggu ketenteraman di kawasan premis tersebut.
Semalam Akmal berkata, dia akan “mengajar” pemilik sebuah kedai perkakasan berkenaan mengenai cara memasang bendera dengan betul sekiranya tiada pendakwaan dikenakan terhadap individu itu dalam tempoh dua hari.
Mengulas lanjut perkara itu Akmal berkata, Loke sepatutnya tidak sepatutnya membuat keputusan sama ada pekedai tersebut tersilap atau tidak lebih awal kerana ia adalah tugas pihak lain.
“Sebenarnya Loke tak boleh cakap dulu, sebab apa yang ‘tersilap’ itu biarlah peguam negara yang tentukan, sama ada tersilap atau tak tersilap.
“Jadi kalau buat begini maksudnya Anthony Loke pun dah mendahului peguam negara, jadi lebih kurang samalah juga,” katanya.
Tambah Akmal disebabkan DAP sudah menyatakan mereka mahu menyambut kedatangannya di depan kedai tersebut, Adun Merlimau itu mahu melihat bagaimana ia diadakan.
“Tak apa, sebab orang nak sambut, takkanlah saya tak datang. Jadi insya-Allah hari Khamis lebih kurang dalam jam 5.30 petang, saya nak datang ke situ.
“Saya pun nak tengok sambutan macam mana, katanya nak bagi bendera, kita pun ada bawa bendera kita akan bagi sama-sama untuk bagi kesedaran kepada orang ramai.
“Jadi ahli DAP yang nak sambut kami pada petang Khamis itu, kita jumpa nanti, tak kira (pekedai) didakwa atau tidak didakwa itu perkara kedua,” ujarnya lagi.