KOTA BHARU: Kelantan WTS FC (Kelantan WTS) mengakui perlu menggunakan khidmat pemain import untuk kekal berdaya saing di pentas Liga A1 Semi Pro selain mengekalkan rentak kemenangan di sepanjang musim ini.
Ketua Jurulatihnya, Che Saupi Ibrahim berkata, separuh daripada 16 pasukan bertanding dalam Liga A1 musim ini menggunakan khidmat pemain import untuk membantu pasukan masing-masing meraih kemenangan.
“Kita rasa memang perlu ada pemain import walapun seorang. Rata-rata pasukan sama ada di Liga A1 atau Liga Super mengharapkan pemain import untuk meraih kemenangan dan Kelantan WTS juga perlu melihat keperluan sama kerana takut tercicir kemenangan.
“Kita ada menguji dua pemain import dalam perlawanan persahabatan pra musim tetapi kedua-duanya tidak menepati kehendak pasukan,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Liga A1 yang menyaksikan Kelantan WTS meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Malaysia Universiti di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Beliau memberitahu, Kelantan WTS akan menilai bekas pemain import Kelantan, Francis Forkey Doe yang baru tiba di Kota Bharu kelmarin dalam tempoh seminggu bagi melihat kesesuaiannya bersama pasukan.
Mengulas perlawanan malam tadi, beliau berkata, keserasian antara pemain merupakan perkara utama yang perlu diperbaiki selain kelemahan di bahagian tengah yang menyaksikan pasukan kendaliannya banyak kehilangan bola walaupun menguasai perlawanan.
“Kita banyak melakukan serangan ke atas Malaysia Universiti tetapi akibat penyudah yang mengecewakan, kita hanya mampu menjaringkan satu gol daripada tiga hingga empat peluang yang dihasilkan.
“Apapun kita anggap kemenangan ini sebagai petanda baik dan diharap dapat menarik lebih ramai penyokong ke stadium kerana bagi perlawanan kedua, kita sekali lagi turun selaku tuan rumah menentang Manjung City FC pada 11 Ogos nanti,” katanya.
Sementara itu, pengendali Malaysia Universiti, Mohd. Yazli Yahya berkata, cuaca hujan sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan pasukannya namun tetap menerima kekalahan tipis di tangan Kelantan WTS.
Katanya, pihaknya kekal dengan tumpuan kepada pemain tempatan bagi menyahut cabaran Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengetengahkan bakat-bakat muda dalam kalangan penuntut universiti.
“Cuma kami memerlukan sedikit masa lagi untuk membentuk keserasian antara pemain yang rata-ratanya muka baharu dan penuntut di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia. Kami yakin mereka mampu memberi saingan sepanjang musim ini.
“Pasukan juga berdepan masalah padang perlawanan yang tidak menepati piawaian ditetapkan pihak Liga Bola Sepak Amatur (AFL) namun telah mengenal pasti beberapa venue di universiti-universiti sekitar Lembah Klang untuk dijadikan venue tetap kita,” ujarnya.-UTUSAN