APM Kelantan urus lebih 11,600 kes tangkapan ular pada 2025, dengan Kota Bharu merekodkan jumlah tertinggi seramai 5,327 ekor.
KOTA BHARU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan mengendalikan 11,641 kes tangkapan ular sepanjang tahun lepas.
Timbalan Pengarahnya, Lt Kol (PA) Mohd Farid Ishak berkata, jajahan Kota Bharu merekodkan jumlah tertinggi iaitu 5,327 kes.
Bachok mencatat 2,914 kes, diikuti Machang dengan 2,749 kes.
“Kita terima sebanyak 25,218 kes panggilan kecemasan dan jumlah ini termasuk panggilan melibatkan kehadiran reptilia (ular) itu di kawasan kediaman dan tempat awam,” katanya.
Semua ular yang ditangkap diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan.
Mereka akan mengambil tindakan lanjut termasuk pelepasan semula mengikut prosedur.
Selain itu, APM negeri turut mengendalikan 6,554 kes memusnahkan sarang serangga.
Mereka juga menangani 2,934 kes menangkap haiwan liar dan 1,256 kes melibatkan pesakit.
Terdapat 849 kes kejadian pokok tumbang yang diuruskan pada tahun sama.
Kes kemalangan jalan raya pula mencatat 532 kes, manakala kes membabitkan haiwan peliharaan seramai 399.
Mohd Farid menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan haiwan berbahaya.
“Tindakan sendiri boleh mendatangkan bahaya kerana orang ramai tidak mempunyai peralatan keselamatan secukupnya,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai menghubungi talian kecemasan APM dengan segera.
“Haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking kebiasaannya akan memasuki kediaman terutama selepas banjir,” tambahnya.





