Malaysia Oversight

Kekurangan pengawal trafik udara, 1,460 penerbangan dibatalkan di AS

By Utusan in November 9, 2025 – Reading time 2 minute
Kekurangan pengawal trafik udara, 1,460 penerbangan dibatalkan di AS


WASHINGTON: Syarikat penerbangan Amerika Syarikat membatalkan 1,460 penerbangan pada hari kedua pelaksanaan pengurangan penerbangan oleh , manakala ribuan penerbangan lain mengalami kelewatan, ekoran peningkatan ketiadaan pengawal trafik udara sepanjang penutupan persekutuan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) melaporkan pada Sabtu masalah kekurangan kakitangan pengawal trafik udara menjejaskan 37 menara lapangan terbang dan pusat kawalan lain, menyebabkan kelewatan penerbangan di sekurang-kurangnya 12 bandar utama AS, termasuk Atlanta, Newark, San Francisco, Chicago dan New York.

Sebanyak 6,000 penerbangan mengalami kelewatan pada Sabtu, sedikit menurun berbanding Jumaat dengan 7,000 penerbangan tertunda dan 1,025 penerbangan dibatalkan.

FAA mengarahkan syarikat penerbangan supaya mengurangkan 4 peratus daripada penerbangan harian bermula Jumaat di 40 lapangan terbang utama, bagi mengekalkan keselamatan trafik udara.

Penutupan yang kini memasuki hari ke-39 telah menyebabkan kekurangan pengawal trafik udara, yang seperti kakitangan persekutuan lain, belum menerima gaji selama beberapa minggu.

Pengurangan penerbangan dijangka meningkat kepada 6 peratus pada Selasa dan seterusnya 10 peratus menjelang 14 November.

Kekurangan pengawal trafik udara turut memaksa FAA melaksanakan program kelewatan tanah (ground delay program) di sembilan lapangan terbang pada Sabtu, dengan purata kelewatan 282 minit di Atlanta, salah satu lapangan terbang paling sibuk di AS.

Potongan penerbangan bermula pada 6 pagi ET (1100 GMT) Jumaat, melibatkan kira-kira 700 penerbangan dari empat syarikat penerbangan terbesar iaitu American Airlines, Delta Air Lines, Southwest Airlines dan United Airlines.

Keempat-empat syarikat membatalkan jumlah penerbangan yang hampir sama pada Sabtu, selain terpaksa membatalkan tambahan kerana masalah kakitangan pengawal trafik udara.

Pentadbir FAA, Bryan Bedford, sebelum ini menyatakan antara 20 hingga 40 peratus pengawal trafik udara tidak hadir bekerja sepanjang beberapa hari sebelumnya.

Senator Ted Cruz ketika perbahasan di Dewan Senat Jumaat lalu menyalahkan penutupan kerajaan atas masalah keselamatan trafik udara, manakala Pemimpin Majoriti Senat, John Thune, berkata perbincangan dua pihak bagi menamatkan penutupan kerajaan menunjukkan perkembangan positif, namun tiada keputusan dicapai.

Sepanjang penutupan kerajaan, 13,000 pengawal trafik udara dan 50,000 pegawai keselamatan lapangan terbang terpaksa bekerja tanpa gaji, menyebabkan kadar ketiadaan meningkat.

Menteri Pengangkutan AS, Sean Duffy, menyatakan kemungkinan memerlukan potongan 20 peratus penerbangan sekiranya lebih ramai pengawal gagal hadir bekerja.





Source link