PAS memberi amaran bahawa kekecohan yang tercetus semasa proses pengusiran kerajaan di Kampung Sungai Baru hari ini adalah gambaran awal kepada apa yang bakal berlaku jika rang undang-undang Akta Pembaharuan Bandar (PSB) yang kontroversial itu diluluskan.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari berkata tanpa pertimbangan belas kasihan, pemaju akan diberi kuasa yang luas sehingga rakyat biasa berisiko diusir dari rumah mereka sendiri.

“PAS juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ini adalah gambaran awal atau ‘teaser’ sekiranya Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilaksanakan kelak,” katanya.
Fadhli turut mengkritik proses pengusiran hari ini, dengan menyifatkan ia sebagai “amat tidak berperikemanusiaan” kerana dilakukan ketika rayuan penduduk dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan.
Menurutnnya, pada 20 Ogos lalu, pemaju telah memperoleh perintah mahkamah ex parte yang memberi kebenaran untuk memasuki kawasan, termasuk membuka mangga pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah bagi tujuan pengambilalihan.
“PAS menghormati keputusan tersebut. Namun, tindakan pemaju yang meneruskan pengosongan secara tergesa-gesa, sedangkan rayuan penduduk dijadualkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober, amat tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Fadhli berkata, pemaju sepatutnya menggunakan budi bicara dengan belas kasihan dan menunggu sehingga proses rayuan selesai.
“Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu tindakan yang zalim.
“Lebih membimbangkan, perintah Order 89 secara jelas tidak membenarkan sebarang perobohan atau penggunaan jentera berat. Namun, penguatkuasaan pada hari ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta tindakan agresif pihak pemaju, sekali gus menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.

“PAS menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini. Simpati turut dirakamkan kepada seorang anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut. Pada masa sama, PAS akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas,” kata Fadhli.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan KL City Gateway Sdn Bhd (KLCG), pemaju di sebalik pembangunan semula Kampung Sungai Baru, menafikan dakwaan bahawa syarikat itu berniat mengganggu penduduk yang enggan berpindah.
Pengarah KLCG, Abdul Hadi Ahmad, dipetik sebagai berkata proses pengusiran dijalankan selaras dengan keputusan mahkamah.

Dia menjelaskan bahawa proses itu sepenuhnya dikendalikan oleh bailif yang dilantik mahkamah, dengan kehadiran wakil undang-undang serta PDRM, dan mematuhi prosedur undang-undang dengan ketat. KLCG, katanya, tidak akan terlibat, menyokong, atau membenarkan sebarang tindakan di luar batas undang-undang.
Pengusiran hari ini merupakan percubaan kedua selepas usaha kali pertama pada Julai untuk mengusir baki 14 penduduk rumah teres kampung itu gagal. Majoriti penduduk telah berpindah selepas menerima tawaran pembelian daripada syarikat berkenaan.
“KLCG mengecam keras sebarang cubaan mengaitkan syarikat dengan tindakan menyalahi undang-undang atau mewujudkan gambaran palsu bahawa ia berniat mencetuskan kekacauan.
“Tuduhan ini mencemarkan reputasi dan kredibiliti syarikat serta tidak disokong oleh sebarang bukti.

“KLCG tetap terbuka kepada dialog dan akan terus bertindak secara berhati-hati untuk menyelesaikan perkara ini secara baik dengan mematuhi undang-undang sepenuhnya. Sebarang penyebaran tuduhan palsu atau berniat jahat akan diambil tindakan undang-undang kerana KLCG tidak akan bertoleransi terhadap serangan ke atas reputasi atau cubaan mencetuskan huru-hara melalui maklumat palsu,” kata Abdul Hadi.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Suzilme Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala semasa operasi pengusiran terhadap penduduk Kampung Sungai Baru yang enggan berpindah.
Difahamkan, dia cedera ketika kekecohan tercetus selepas beberapa penduduk cuba memaksa untuk masuk ke kawasan operasi.

Operasi itu, yang turut melibatkan pemotongan bekalan elektrik, bermula awal pagi dengan diketuai bailif mahkamah serta kerjasama beberapa agensi berkaitan. Kehadiran polis dalam jumlah besar menghadkan akses ke rumah terbabit hanya kepada mereka yang mempunyai pas keselamatan.
Apabila sekumpulan penduduk dihalang oleh pasukan FRU, mereka bertindak membaling objek termasuk batu ke arah pihak berkuasa. Suzilme dipercayai terkena salah satu objek berkenaan. Polis kemudian mengeluarkan amaran keras supaya penduduk bersurai, yang akhirnya dipatuhi.
Suzilme kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Susulan kekecohan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berikrar untuk memastikan pengusiran diteruskan sehingga selesai, dengan menegaskan dia “akan lawan habis-habisan” sekiranya berlaku provokasi.
Fadil turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan huru-hara.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus tampil menjelaskan isu sebenar yang menurutnya jauh berbeza daripada gambaran tersebar di media sosial.
MalaysiaGazette hari ini memetiknya sebagai berkata, projek pembangunan semula ini lahir daripada inisiatif penduduk sendiri bukan paksaan daripada mana-mana pihak luar.

“Persatuan kami ditubuhkan pada 2016 oleh generasi terdahulu yang melihat keadaan rumah semakin uzur manakala pajakan tanah pula semakin singkat.
“Majoriti penduduk pada waktu itu sedar mereka tidak mampu membaiki rumah sendiri maka diputuskan untuk mencari pemaju bagi membangunkan semula kampung ini.
“Jadi jangan salah faham, bukan pemaju yang datang cari kami tetapi kami yang keluar mencari pemaju,” katanya.
Sanita juga mendedahkan, pampasan yang diberikan pemaju sangat munasabah dan tinggi malah ada yang mencecah sehingga RM1 juta hingga RM3.8 juta bagi satu unit rumah teres mengikut keluasan.
“Kalau ikut penilaian kerajaan, nilai asal sekitar RM400 sekaki persegi tapi pemaju bersetuju memberi pampasan RM850 sekaki persegi, hampir dua kali ganda lebih tinggi.
“Jadi sebenarnya ia tawaran yang sangat baik dan jarang berlaku dalam projek pembangunan semula,” katanya lagi.