ULASAN | Di kala kritikan memuncak ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, saya terpanggil untuk menyatakan penjelasan yang lebih bersifat kritikal dan berfakta, sekali gus menolak dakyah songsang Dr Afif Bahardin dalam Malaysiakini pada 27 Julai lalu.
Afif hanya melontar persepsi negatif tanpa sebarang bukti atau angka yang kukuh. Penulisan dia lebih menjurus kepada permainan sentimen berbanding berpijak pada bumi nyata.
Realitinya, data rasmi menunjukkan prestasi ekonomi negara terus mencatat pemulihan yang meyakinkan, jauh berbeza daripada naratif suram yang disebarkan.
Kritikan terhadap kepimpinan perdana menteri membuktikan keterbukaannya menjunjung amalan demokrasi di dalam negara ini. Buktinya jelas, naratif politik yang dipermainkan oleh pihak pembangkang sehingga membawa kepada himpunan di jalan raya tetap diraikan secara demokrasi oleh Anwar dengan penuh kematangan dan kewibawaan.
Namun kritikan yang dilontarkan tidak harus dibakar bersama sentimen kebencian, sebaliknya penilaian yang adil mestilah berasaskan fakta dan konteks realiti, bukan kekecewaan peribadi atau romantisme masa silam sesetengah pihak.
1: Prestasi ekonomi: Stabil dalam cabaran global yang tidak menentu
Kritikan yang menyatakan ekonomi Malaysia semakin suram tidak menggambarkan keseluruhan realiti. Sebaliknya, saya mengajak kita semua untuk lebih cermat menilai indikator dan fakta rasmi yang tidak sama sekali dipengaruhi oleh sentimen mana-mana pihak.
Indikator pertama ialah rekod Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 dicatat pada 3.6 peratus diikuti 5.1 peratus setahun kemudian.
Peningkatan pertumbuhan itu tidak berlaku dengan sendiri, sebaliknya memerlukan kebijakan pemimpin menyusun strategi ekonomi yang lebih rasional dan mampan dalam lingkungan jangkaan dunia menghadapi kesan rantaian bekalan selepas Covid-19 dan ketegangan geopolitik yang tidak menentu.
Indikator kedua pula merujuk kepada laporan rasmi BNM dan DOSM yang membuktikan kecaknaan kepimpinan Anwar memastikan kestabilan kos sara hidup rakyat.
Kadar inflasi bagi Jun tahu ini mencatatkan hanya 1.1 peratus, menurun berbanding 1.8 peratus pada bulan yang sama tahun lalu. Ia menandakan kejayaan kerajaan mengawal tekanan harga secara berterusan.
Pada masa yang sama, kadar pengangguran turut menurun kepada 3.0 peratus pada Mei lalu berbanding 3.3 peratus yang direkodkan pada bulan sama 2024.

Ia menggambarkan pasaran buruh yang semakin pulih dan selari dengan hala tuju dasar ekonomi Madani yang diterajui oleh perdana menteri.
Kesungguhan yang ditunjukkan perdana menteri menerusi lawatan rasmi ke luar negara telah membawa impak yang cukup signifikan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.
Ini dibuktikan dengan rekod yang dicatatkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) apabila Malaysia mencatatkan rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah iaitu RM378.5 bilion dengan pertumbuhan 14.9 peratus (mengikut perbandingan tahun-ke-tahun) dengan menjana lebih 207,000 pekerjaan pada 2024.
Peluang pekerjaan yang besar membolehkan rakyat memperoleh pekerjaan dan ia terbukti signifikan melalui kadar pengangguran yang direkodkan oleh DOSM menurun kepada 3.0 peratus (Mei 2025).
2. Dasar strategik Madani: Menyusun semula ekonomi untuk masa depan
Kerajaan pimpinan Anwar tidak meneruskan dasar lapuk, sebaliknya memperkenalkan pendekatan strategik melalui gagasan Malaysia Madani.
Kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan pada Ogos 2023 – dengan fokus kepada pendapatan boleh guna rakyat, penstrukturan subsidi bersasar, dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi – mula menampakkan hasilnya. Namun ada sesetengah pihak yang tidak sabar dan terus menghukum.
Sikap itu jelas menunjukkan kekontangan jiwa dan fakta.
Mana mungkin sosok seorang perdana menteri seperti Anwar mampu menyelesaikan semua kerosakan yang diwarisi kerajaan terdahulu dalam masa yang singkat. Namun ketegasan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Anwar ternyata mula membuahkan hasil.
Apa buktinya?
Belanjawan Madani 2024 merupakan paling inklusif dalam sejarah dengan memperuntukkan RM393.8 bilion dengan memberi penumpuan kepada pendidikan, digitalisasi, serta pelaburan dalam ekonomi hijau dan teknologi.
Ketegasan perdana menteri dalam aspek tadbir urus serta tatakelola yang baik juga melalui subsidi bersasar diesel (Jun 2024) berjaya mengurangkan ketirisan sebanyak RM4 bilion setahun.

Pada hemat saya, sesetengah pihak yang dangkal pemikirannya menggunakan isu nilai mata wang untuk dijaja sebagai modal politik murahan dengan mengatakan kejatuhan ringgit menjadi kayu ukur kelemahan ekonomi negara. Ia bukanlah sesuatu yang wajar.
Namun sedarkah mereka, laporan Seasia Stats yang mengumpul data Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (Swift), menyenaraikan ringgit sebagai antara 20 mata wang paling berpengaruh pada peringkat global.
Malahan ringgit mengukuh sehingga mencecah paras setinggi 4.1990 berbanding dolar AS pada 5 Mei lalu. Ia adalah peningkatan sebanyak 6.2 peratus sejak awal tahun dengan mencatatkan paras paling kukuh pada 2025.
Selain itu, ada statistik yang sekadar memaparkan angka, tapi ada juga angka yang memaknai harapan.
Tahun ini, Malaysia naik 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia – dari kedudukan 34 kepada 23. Indeks Kebebasan Media, inovasi global dan keselamatan negara juga menunjukkan peningkatan ketara.
Mungkin tidak semua nampak usaha di balik tabir ini yang digerakkan oleh kepimpinan yang berprinsip, penjawat awam yang tekun, dasar yang diperhalusi, hinggalah komitmen penuh untuk pulih secara berperingkat.
Walaupun masih ada ruang untuk penambahbaikan, pencapaian ini tetap wajar diraikan untuk meneruskan agenda pembangunan negara yang lestari.
‘‘Leadership is the capacity to translate vision into reality,” kata Warren G Bennis.
Itulah ironinya. Usaha gigih perdana menteri sering dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Dia tetap bersungguh dan utuh merealisasikan antara kehendak rakyat dan janji yang ingin dikotakan.
Hasil ketegasan dan kesungguhan memperkasa ekonomi negara, maka manfaatnya dikembalikan kepada rakyat terbanyak melalui pelbagai inisiatif, antaranya:

* Harga minyak RON95 diturunkan kepada RM1.99 sen selepas penyasaran subsidi menjelang akhir Septe ini berbanding harga pasaran sekitar RM2.50 hingga RM3 seliter
* Kenaikan gaji kepada penjawat awam antara 7 peratus – 15 peratus
* Peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 berbanding kadar sebelum ini RM1,500
* Peningkatan peruntukan Jualan Rahmah Madani kepada RM600 juta berbanding RM300 juta sebelum ini, meliputi semua 600 kawasan dewan undangan negeri
* Bantuan khas penjawat awam dan bantuan khas kewangan pesara kerajaan
* Manfaat Sumbangan Asas Rahmah (Sara) secara one-off RM100 diberikan kepada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas. Jumlah penerima meningkat kepada 5.4 juta berbanding 700,000 pada 2024
* Tiada kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya yang dijadualkan tahun ini mengikut perjanjian konsesi. Ia ditangguhkan apabila kerajaan menanggung kos lebih RM500 juta bagi mengekalkan kadar sedia ada
* Penurunan bil elektrik rakyat sehingga 14 peratus hasil penstrukturan tarif elektrik.

Sememangnya jika diukur dengan tempoh pentadbiran Anwar yang masih baru, banyak inisiatif dan manfaat buat rakyat diikhtiarkan. Tidak relevan jika perdana menteri ‘diturunkan’ sedangkan hakikatnya dia memang turun padang untuk melihat dan mendengar sendiri keluh kesah rakyat.
Usaha itu dibuktikan dengan dasar dan pelbagai inisiatif yang bermanfaat untuk membela masyarakat.
Anwar sepatutnya dikekalkan untuk penggal yang seterusnya!
3. Komitmen terhadap tadbir urus baik dan reformasi institusi
Di celah cabaran yang pelbagai serta tohmahan yang dilemparkan oleh sesetengah, Anwar tetap istiqamah menjulang reformasi institusi seperti dilaungkan.
Antara reformasi penting yang sedang berjalan ialah pembentukan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) secara bebas dengan penglibatan tokoh masyarakat sivil.
Selain itu, Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2024 turut dibentang untuk memastikan ketelusan dalam perolehan projek dan tender kerajaan.
Berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Azalina Othman Said, agenda pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga sedang dalam fasa akhir sebelum dijangka dibentang pada tahun ini.

Selain itu, penerapan Akta Pendanaan Politik juga dalam proses akhir. Langkah ini belum pernah dilakukan secara serius oleh mana-mana kerajaan sebelum ini.
Sebagaimana yang kita sedia maklum proses reformasi institusi bukanlah boleh dilangsaikan dalam sehari dua, sebaliknya memerlukan masa lebih lama agar setiap proses itu disempurnakan sebaiknya.
Sungguhpun begitu ada segelintir pihak yang tidak sabar dan tidak ketahuan punca menghukum seolah-olah reformasi institusi yang diperjuangkan Anwar hanyalah retorik.
Lihatlah dengan kaca mata yang yang lebih jelas dan buat penilaian dengan hati yang terbuka, bukannya naratif keuntungan politik peribadi semata-mata.
4. Kepimpinan luar biasa menjangkau peringkat antarabangsa
Reformasi bukanlah sekadar ungkapan magis. Ia memerlukan keberanian, konsensus institusi dan kesabaran yang tinggi.
Kestabilan politik yang dicapai selepas PRU ke-15 membolehkan dasar-dasar lebih berani di bawa ke hadapan untuk kemampanan pembangunan negara.
Naratif yang mengatakan kepemimpinan Anwar gagal adalah tidak tepat.
Tempoh 32 bulan bukanlah jangka masa yang matang untuk membina semula sebuah sistem yang telah rosak berdekad-dekad lamanya.
“Jangan ulangi reformasi tergesa-gesa Dr Morsi di Mesir berulang di Malaysia.”
Kewibawaan yang hakiki
Malaysia kembali menarik perhatian dunia sebagai negara demokrasi berfungsi dengan dasar luar yang berprinsip.
Buktinya kelantangan serta ketegasan perdana menteri dalam isu Palestin bergema di pelbagai forum antarabangsa. Siri lawatan rasmi Anwar menjadi platform mengetengahkan isu Palestin kepada negara-negara besar dunia.
Tujuannya: agar nasib rakyat Palestin terbela.
Selain itu, bukti penerimaan dan kredibiliti Malaysia juga dijulang apabila perdana menteri diundang berucap di platform antarabangsa, termasuk World Economic Forum (Davos), Forum Ekonomi Qatar, serta Sidang Kemuncak BRICS di Brazil.
Di situ perdana menteri mengangkat suara Malaysia dalam isu keadilan ekonomi global, Kerjasama Selatan-Selatan dan reformasi institusi antarabangsa.
Dunia telah mengabsahkan kewibawaan kepimpinan Anwar. Tidak timbul lagi isu segelintir pihak ke jalanan semata-mata mahu menurunkan pemimpin yang berwibawa kepunyaan Malaysia ini.
Itu hanyalah retorik politik yang dicipta tanpa berakarkan fakta. Kita seharusnya berbangga dengan pencapaian berdasarkan fakta sebenar yang dilakar oleh pemimpin negara dan memberi sokongan penuh untuk Malaysia melangkah ke puncak jaya.
MOHAMAD ABDUL HAMID ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan Adun Batu Maung.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.