Malaysia Oversight

Kejar lebih 90km, polis rampas air ketum dan tahan dua beradik

By MkiniBM in August 5, 2025 – Reading time 2 minute
Kejar lebih 90km, polis rampas air ketum dan tahan dua beradik


Dua beradik dengan sebuah Proton Wira mencetuskan insiden kejar-mengejar dengan polis elama hampir satu jam di sekitar Shah Alam, awal pagi tadi, sebelum ditahan bersama sebotol air ketum.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Iqbal Ibrahim, sebuah kereta peronda polis mengesan kereta itu dalam keadaan mencurigakan di Pusat Komersial Seksyen 7 sekitar jam 1.30 pagi dan mengarahkannya untuk berhenti.

Bagaimanapun, pemandu kereta itu terus memecut laju dan cuba meloloskan diri daripada polis .

“Tindakan tersebut menyebabkan berlaku kejadian kejar-mengajar sejauh lebih kurang 90 kilometer di sekitar Shah Alam dan sebanyak enam buah kereta MPV lain diarahkan membantu bagi menahan pemandu kereta tersebut.

“Selepas hampir sejam mengejar, pihak polis berjaya memintas kereta tersebut di Seksyen 9 berhadapan pintu pagar IPK .  

“Polis berjaya menahan dua suspek di dalam kereta tersebut masing-masing berusia 18 dan 24 tahun. Pemeriksaan lanjut dalam kereta turut menjumpai sebotol cecair berwarna hijau disyaki air ketum di bawah tempat duduk penumpang hadapan sebelah kiri,” kata Iqbal dalam kenyataan hari ini.

Polis kemudian mendapati kedua-duanya adalah adik beradik, dengan abang memiliki lima rekod berkaitan dadah manakala adiknya tiada sebarang rekod jenayah.

Iqbal berkata kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 berkenaan pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan pemilikan bahan-bahan psikotropik.

Di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, dua beradik tersebut boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000, manakala Seksyen 30 Akta Racun 1952 membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali.



Source link