Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) menyokong pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, bahawa penolakan kunjungan Presiden Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean tidak selaras dengan maqasid syariah, khususnya dalam konteks memelihara keamanan dan maruah insani.
Ketua Pengarah Ikim, Mohamed Azam Mohamed Adil, berkata kehadiran pemimpin AS itu sepatutnya menjadi peluang strategik untuk Malaysia memanfaatkan pentas diplomasi antarabangsa demi menegakkan prinsip keadilan sejagat.
“Maslahah yang lebih besar dapat dicapai apabila pintu dialog dibuka dengan akal yang tenang dan hujah yang jelas demi memelihara keamanan (hifz al-amn) dan menegakkan maruah insani,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Fauwaz dilaporkan berkata, tindakan menolak secara menyeluruh kehadiran Trump ke Malaysia bertentangan dengan dua prinsip penting dalam maqasid syariah.
Prinsip tersebut, menurut Ahmad Fauwaz, ialah hifz al-amn dan maqasid al-‘umran (pembangunan tamadun).
Jelasnya, emosi dan sentimen tidak boleh menjadi asas dalam membuat keputusan, sebaliknya ia perlu ditimbang berasaskan maslahah serta keadilan seperti dituntut syariat Islam.
Menurut Mohamed Azam, Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 menggalas tanggungjawab moral untuk menggunakan peluang emas melalui dengan kehadiran Trump bagi menyuarakan pendirian tegas terhadap isu-isu hak asasi manusia, termasuk penderitaan rakyat Palestin dan jenayah genosid di Gaza.
Katanya Ikim turut menegaskan bahawa kehadiran Trump tidak boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk legitimasi terhadap dasar luar negara tersebut.
Sebaliknya, kata Mohamed Azam, ia mesti dijadikan peluang diplomatik untuk mengetengahkan suara Malaysia dan rantau Asean secara lebih bermaruah.
“Malaysia berpeluang menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk penindasan etnik serta mencadangkan penubuhan mekanisme bersama AS–Malaysia untuk memantau hak asasi di kawasan konflik,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mohamed Azam berkata, Ikim berpandangan sebarang kerjasama atau bantuan daripada AS perlu disyaratkan dengan pematuhan kepada prinsip hak asasi manusia dan larangan menyokong sebarang bentuk perang atau genosid.
Justeru, katanya, Ikim mencadangkan agar Malaysia mendesak penyertaan AS dalam inisiatif pemulihan pascakonflik dan penyiasatan bebas antarabangsa.
“Inilah ruang Malaysia menunjukkan kebijaksanaan diplomasi yang halus tetapi berprinsip, beradab tetapi berani, lembut pada bahasa namun tegas pada makna,” tambahnya.
Pada 6 Sept lalu, gabungan 23 NGO mengadakan bantahan di Kuala Lumpur berhubung kunjungan Trump.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, turut menggesa Anwar membatalkan jemputan tersebut dengan menasihatkan kerajaan supaya mengambil pendirian tegas dan jelas menentang kekejaman Israel yang disokong oleh AS.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur pengkritik dengan menyatakan bahawa sidang kemuncak itu menyediakan platform diplomatik untuk rantau ini terus mengangkat isu Palestin.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, turut menyeru agar semua pihak matang dalam menyikapi bantahan terhadap kunjungan Trump, sambil menekankan bahawa al-Quran sendiri memberi panduan bagaimana berhadapan dengan pemimpin zalim.
Mengenai kontroversi jemputan kepada Trump, Saifuddin menjelaskan ia tidak boleh dilihat sebagai Malaysia menyokong pemimpin AS tersebut.
Sebaliknya, kata Saifuddin, langkah itu mencerminkan tanggungjawab Malaysia sebagai pengerusi Asean untuk mewakili suara kolektif kesemua 10 negara anggota melalui Anwar.






